Tiga lelaki dipenjara seumur hidup kerana menculik - pakdin.my

Tiga lelaki hari ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah menculik seorang wanita bagi mendapatkan wang tebusan RM400,000 tiga tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Zairolnizan Md Nor, 40, turut dikenakan hukuman tujuh sebatan, manakala Mohd Khairul Anuar Musa, 42, dan Abdul Hadi Abu Bakar, 25, masing-masing dikenakan hukuman lima sebatan.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata ketika dipanggil membela diri, ketiga-tiga tertuduh hanya memberi keterangan yang menjurus kepada penafian semata-mata dan gagal memberitahu di mana lokasi mereka berada ketika kejadian sedang berlaku.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, wanita terbabit yang ketika kejadian berusia 28 tahun telah diculik dan dilarikan ketiga-tiga tertuduh pada 23 Januari 2017, kira-kira 7.40 pagi semasa sedang menunggang motosikal balik ke rumah selepas bersarapan di Kampung Padang Pisang, di sini.

Semasa dilarikan, mangsa yang ditahan di dalam kereta Myvi telah dibawa ke beberapa tempat dan hanya dilepaskan dengan selamat sehari kemudian, kira-kira 1.30 pagi selepas wang tebusan sebanyak RM400,000 dibayar oleh majikannya.

Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan bukannya hukuman mati berikutan ketiga-tiga lelaki tersebut telah insaf dan mendapat pengajaran sepanjang tempoh dalam tahanan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud manakala Mohd Zairolnizan diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamad dan Alias Ibrahim.

Mohd Khairul Anuar pula diwakili Shaharuddin Mohamed manakala Abdul Hadi diwakili Firdaus Mohamad Yusuf. — Bernama

UTAMABERITATiga lelaki dipenjara seumur hidup kerana menculik

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium