Tiga Pelajar Wanita Malaysia Maut Nahas Jalan Raya Di Jordan - pakdin.my

pelajar-wanita-malaysia-maut-nahas-jordan 2

Tiga pelajar warga Malaysia maut dalam nahas jalan raya di Jordan pada Sabtu.

Education Malaysia Jordan dalam satu kenyataan di Facebook berkata, kemalangan berlaku semasa lima pelajar Universiti Mu’tah dalam perjalanan ke Mafraq untuk program Jaulah pada pagi Sabtu.

Tambah kenyataan itu, dua lagi mangsa terselamat dan sedang dirawat di Hospital Mafraq.

“Dukacita dimaklumkan bahawa telah berlaku kemalangan jalan raya pagi tadi melibatkan sebuah kereta dinaiki oleh pelajar Malaysia dengan warga jordan dalam perjalanan ke Mafraq untuk program Jaulah.

“Kemalangan melibatkan lima pelajar dari Universiti Mu’tah. Tiga meninggal dunia manakala dua pelajar terselamat. Mangsa yang terselamat masih lagi dirawat di Hospital Mafraq,” menurut kenyataan itu pada Sabtu sambil menambah turut terlibat dalam kemalangan ialah warga Jordan.

“Marilah sama-sama kita doakan semoga ketiga-tiga roh pelajar berkenaan ditempatkan dalam orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” tambah kenyataan Education Malaysia Jordan.

Menurut Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan Sesi 2015/2016 dalam satu kenyataan di Facebook, tiga pelajar yang maut ialah Hana’ Azhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Safie, masing-masing dari Kelantan dan Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz dari Kuala Lumpur.

Kenyataan itu menambah, dua mangsa yang cedera adalah Fatin Norsyahirah dari Kelantan dan Izzam Hasif dari Negeri Sembilan.


Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan Sahkan Tiga Pelajar Malaysia Maut Kemalangan

pelajar-wanita-malaysia-maut-nahas-jordan

Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan (KMKJ), mengesahkan tiga pelajar Malaysia di Universiti Mu’tah maut manakala dua lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Ashrafiyeh, Wilayah Mafraq, Jordan, semalam.

Menurut laman Facebook KMKJ, lima pelajar Malaysia itu terbabit dalam kemalangan di Wilayah Mafraq.

“Semua yang terbabit dalam kemalangan lima orang iaitu tiga orang meninggal dunia dan dua lagi cedera.

“Mereka yang meninggal dunia termasuk dua pelajar berasal dari Kelantan manakala seorang lagi dari Kuala Lumpur.

“Semoga seluruh keluarga mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini. Keluarga KMKJ mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” menurut kenyataan itu.

Menurut KMKJ, dua pelajar yang cedera adalah dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Seorang mangsa yang cedera dikenali sebagai Muhammad Izzam Hasif Anuwar, 21, kini dirawat di sebuah hospital di Amman.

Bapa kepada Muhammad Izzam, Anuwar Baharin, berkata beliau dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh rakan anaknya menerusi telefon kira-kira jam 6.30 petang semalam.

“Saya dimaklumkan anak saya bersama rakannya berkonvoi menaiki dua kereta, namun kereta dinaiki Muhammad Izzam mengalami kemalangan.

“Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat rasmi, bagaimanapun saya sempat berbual sekejap dengan anak saya yang memberitahu dia selamat tetapi patah kaki dan tangan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang pelajar di Universiti Yarmouk, Aisyah Humairah Zulqarnain, berkata dia dimaklumkan oleh rakan sekuliah mengenai kejadian itu dan pihak universiti menguruskan mereka yang terbabit dalam kemalangan itu

UTAMABERITATiga Pelajar Wanita Malaysia Maut Nahas Jalan Raya Di Jordan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium