Monday - August 2, 2021 @ 05:29
NASIONALSABAHCeroboh Lahad Datu: Tiga pemberita Al-Jazeera, tiga pemuda SAPP ditahan polis

Ceroboh Lahad Datu: Tiga pemberita Al-Jazeera, tiga pemuda SAPP ditahan polis

suaib-aljazeeraKOTA KINABALU: Tiga pemberita dari rangkaian televisyen Arab, Al-Jazeera dan tiga individu daripada Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) ditahan polis berhampiran perairan Tanjung Labian, Lahad Datu kerana cuba menyelinap masuk ke kawasan itu, tempat sekumpulan warga asing bersenjata dikepung.

Enam individu dan seorang pengemudi bot ditahan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 8 pagi kelmarin setelah mendapati bot dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan selain menuju ke arah Kampung Tanduo, di mana sekumpulan warga Filipina bersenjata terbabit berkumpul.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika dihubungi kelmarin mengesahkan insiden berkenaan dan berkata tujuh individu telah ditahan kerana cuba memasuki kawasan berkenaan yang mana sedang dikawal sepenuhnya oleh pasukan keselamatan.

Beliau berkata, tiga pemberita dan tiga ahli SAPP sebelum itu dikatakan cuba memasuki kawasan terbabit dengan melalui jalan darat namun gagal lalu mereka bertindak mengupah seseorang untuk membawa mereka ke situ menerusi jalan laut.

Bagaimanapun, ketujuh-tujuh individu termasuk pengemudi bot terbabit telah dibebaskan sejurus butir-butir mereka diambil polis.

“Polis hanya menahan seorang daripada mereka ekoran daripada masalah dokumen perjalanan,” katanya.

Menurut sumber, tiga ahli SAPP terbabit dikatakan mengiringi pemberita luar negara berkenaan yang mahu mendapatkan liputan di Kampung Tanduo.

Kesemua mereka yang ditahan oleh anggota PGA itu difahamkan dibawa ke balai polis Cenderawasih berhampiran Tungku sebelum dibebaskan kira-kira jam 3.30 petang kelmarin setelah proses pengambilan butiran dilakukan.

Sementara itu, Hamza menasihatkan kepada orang ramai termasuklah pemberita tempatan dan antarabangsa serta mana-mana parti agar tidak memasuki kawasan itu atas faktor keselamatan.

“Biar kita (polis) yang lakukan kerja. Tumpuan kita adalah memastikan keselamatan orang ramai terus terjamin dan kita tidak mahu sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here