Tikus Timbulkan Masalah Serius Dalam Masyarakat - pakdin.my

tikus

Jumlah tikus di negara ini telah bertambah dan menjadi masalah serius terhadap bandar-bandar dan kawasan kediaman dengan peningkatan membimbangkan dalam kes ‘leptospirosis’ yang biasanya dikenali sebagai “penyakit kencing tikus”.

Penyakit berjangkit yang merebak melalui air kencing tikus yang dijangkiti virus ini boleh menyebabkan kematian dalam kes-kes yang teruk.

Bahagian kawalan penyakit Kementerian Kesihatan mencatatkan sebanyak 3,665 kes leptospirosis tahun lepas, peningkatan 85.5 peratus daripada 1,976 kes yang direkodkan pada 2010, dengan 69 kematian.

Pada tahun 2011, terdapat 2,268 kes dengan 55 kematian.

Walaupun terdapat kenaikan mendadak dalam kes ini, kadar kematian menurun pada tahun 2012 dengan 48 kematian direkodkan.

Pengarah bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Chong Chee Kheong berkata jumlah kes yang dikesan dan pengurangan kadar kematian juga mencerminkan tahap kesedaran di kalangan masyarakat awam dan bidang perubatan tentang penyakit ini.

“Pengesanan awal adalah penting dalam merawat penyakit yang boleh diubati ini,” katanya kepada The Star, Jumaat.

Beliau berkata kenaikan mendadak dalam kes ini membawa kepada keputusan Kerajaan untuk mewajibkan hospital swasta melaporkan kes-kes penyakit ini.

Leptospirosis telah diklasifikasikan sebagai penyakit yang harus dilaporkan pada 9 Disember 2010, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dr Chong berkata persekitaran yang tidak bersih mungkin menyumbang kepada peningkatan kes.

Beliau menggesa pihak berkuasa dan orang ramai berkerjasama mewujudkan persekitaran awam yang bersih untuk mengelakkan semakin ramai yang dijangkiti wabak ini.

“Kawasan awam mesti sentiasa bersih pada setiap masa. Parit tidak boleh tersumbat dan sampah hendaklah dilupuskan dengan betul.

“Pemikiran sivik juga diperlukan daripada masyarakat. Orang ramai tidak boleh terus mengharapkan pihak berkuasa untuk menjalankan kerja pembersihan,” katanya.

Beliau berkata, cara jangkitan paling biasa ialah melalui makanan dan air dan ia juga boleh merebak melalui luka.

Dr Chong berkata, pasar dan pusat penjaja akan menarik perhatian tikus jika sampah tidak dilupuskan dengan betul.

Bagi tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi, beliau berkata air kencing dan najis tikus akan merebak ke dalam kolam, tasik, dan air terjun ketika hujan.

Beliau juga memberi amaran bahawa minum terus dari minuman tin juga boleh menyebabkan jangkitan kerana air kencing tikus yang kering mungkin terdapat di atas tin minuman.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya membasuh dahulu tin sebelum minum.

Dr Chong menegaskan pengendali makanan mestilah bersih, mempunyai dan mengemaskini suntikan vaksin mereka dan memastikan penyediaan makanan dan pelupusan sisa yang betul.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata beliau terkejut dengan kenaikan mendadak bilangan tikus di kawasan bandar dan pekan.

Beliau akan membangkitkan mengenai kebersihan kawasan awam dengan syarikat-syarikat pengurusan sisa seperti Alam Flora, SWM Environment dan E-Idaman.

Abdul Rahman berkata penjaja haram dan pemilik gerai makanan yang tidak bertanggungjawab meninggalkan sisa di tepi jalan menjadi masalah terbesar dan menggesa pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Beliau berkata walaupun kementerian akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dalam mewujudkan bandar lebih selesa untuk didiami, tugas menjaga kebersihan bandar perlu juga melibatkan orang ramai.

“Kesedaran sivik masih kurang, dengan kebersihan di kawasan awam masih banyak yang perlu diperbaiki walaupun Malaysia mempunyai beberapa infrastruktur terbaik.

“Tetapi masih terdapat harapan. Kanak-kanak sekolah sangat terbuka terhadap program kitar semula dan mengekalkan kebersihan.

“Mudah-mudahan, mereka akan membesar menjadi generasi yang mempunyai kesedaran sivik,” katanya.

UTAMATikus Timbulkan Masalah Serius Dalam Masyarakat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium