Tolak nilai songsang sanjung penjenayah – Raja Dr Nazrin - pakdin.my

Raja Dr Nazrin minta rakyat ketepi tanggapan usaha polis banteras jenayah sebagai zalim

Raja Dr Nazrin Shah
Raja Dr Nazrin Shah

Ipoh: Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah meminta rakyat menolak nilai songsang yang menyanjung penjenayah sebagai wira dan menganggap tindakan pasukan keselamatan membanteras jenayah sebagai zalim.

Baginda bertitah jika nilai songsang itu diterima, lebih banyak pihak berani melakukan jenayah, bersifat riak mencabar pihak berkuasa, bertindak ganas serta terus melakukan jenayah menurutkan hawa nafsu.

Jawatankuasa masjid dan surau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung perlu tampil membantu polis dalam tugas kawalan serta menyampaikan maklumat keselamatan” Raja Dr Nazrin Shah, Pemangku Raja Perak

Jangan iktiraf

“Penjenayah jangan sama sekali dilindungi, jauh sekali daripada diiktiraf sebagai wira,” titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak ke-184 di sini, semalam.

Sebaliknya, titah baginda moral anggota polis yang menegakkan keamanan, berkorban nyawa dan keselamatan diri wajib dipertahankan dan diberi sokongan padu oleh setiap rakyat yang mahukan keamanan.

Raja Nazrin bertitah berdasarkan laporan akhbar, kejadian jenayah berat terutama jenayah bunuh semakin menjadi-jadi di negara ini.
“Jenayah bunuh bukan saja dilaporkan semakin sering berlaku malah dilakukan secara ganas, kejam dan mengerikan hingga ke peringkat berlakunya kes pembunuhan di hadapan ibu tua, anak kecil dan dalam rumah ibadat,” titah baginda.

Cabar undang-undang

Baginda bertitah perbuatan sekejam, seganas dan ngeri sedemikian, seolah-olah memperlihatkan sifat angkuh pihak tertentu mahu mencabar undang-undang negara serta melakukan provokasi mencabar penguat kuasa undang-undang.

“Jenayah akan berleluasa jika penjenayah beranggapan pihak berkuasa kurang tegas menguatkuasakan undang-undang.

“Jenayah semakin berani dilakukan jika penjenayah beranggapan bahawa mereka begitu mudah terlepas daripada tangkapan, mudah bebas daripada dakwaan dan jika disabitkan, sekadar dijatuhkan hukuman ringan,” titah baginda.

Banteras secara kolektif

Berikutan itu, usaha membanteras jenayah hendaklah dijayakan secara kolektif di mana rakyat perlu turut sama memainkan peranan membantu polis.

“Jawatankuasa masjid dan surau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung perlu tampil membantu polis dalam tugas kawalan serta menyampaikan maklumat keselamatan dan perlakuan jenayah kepada pihak polis dari semasa ke semasa.

“Dalam kawasan yang dianggap kritikal, program pengawalan oleh pihak awam mungkin perlu difikirkan dan diperkenalkan, agar tugas polis dapat diringankan,” titah baginda.

Baginda juga menegaskan bahawa jenayah tidak boleh dikaitkan dengan faktor kaum atau motif politik kepartian.

“Penjenayah adalah penjenayah, penjenayah harus dilihat dari lensa sedemikian,” titah baginda.

UTAMATolak nilai songsang sanjung penjenayah - Raja Dr Nazrin

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium