25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, November 27, 2020

Tragedi Tanduo Bawa Lembaran Baru Tanjung Batu, Labian

Bendera Malaysia berkibar megah di Kampung Tanduo selepas pasukan keselamatan mengisytiharkan kampung itu bebas daripada kumpulan bersenjata Sulu.
Bendera Malaysia berkibar megah di Kampung Tanduo selepas pasukan keselamatan mengisytiharkan kampung itu bebas daripada kumpulan bersenjata Sulu.

Hampir setahun yang lepas, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian tiba-tiba menjadi ‘perkampungan hantu’ atau tidak berpenghuni, apabila kira-kira 500 penduduknya melarikan diri ke kampung berhampiran seperti Kampung Cenderawasih susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, yang melarat ke kampung mereka.

Kedua-dua kampung itu, yang sebelum ini aman dan damai, bertukar menjadi medan pertempuran antara pasukan keselamatan negara dan pengganas Sulu yang menyaksikan banyak kemusnahan harta benda penduduk, termasuk rumah mereka rosak atau terbakar.

Pengalaman berdepan dengan trauma dan keperitan hidup sebagai ‘pelarian sementara’ yang mereka lalui untuk beberapa minggu di pusat pemindahan di perkampungan berhampiran, menyedarkan mereka tentang betapa pentingnya menjaga dan memelihara keamanan dan keharmonian.

Selepas penduduk Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka pada penghujung bulan Mac tahun lepas, kerisauan terhadap keselamatan diri mereka masih terasa. Namun keadaan kini sudah jauh berubah.

Hampir setahun insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, penduduk kedua-dua kampung itu sudah tidak lagi risau kerana keadaan keselamatan di kampung mereka kini dijamin selamat dan terkawal.

Ini hasil keprihatinan kerajaan yang menggerakkan sepenuhnya jentera keselamatan termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mempertahankan Tanduo dan kampung sekitarnya.


Ekoran kejadian itu juga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ditubuhkan, untuk menyelaras operasi pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan bagi mempertahan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Sabah.

Dua batalion ATM di Zon Labian dan Felda Sabah kini diletakkan di bawah pengawasan Esscom yang diterajui Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Mentek.

“Apa yang penting kami kini dapat hidup aman dan selesa tanpa risaukan tahap keselamatan, dan kami boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa,” kata Eddie Abdul, 45, seorang daripada pemilik rumah yang musnah dibakar dalam insiden pencerobohan itu di Tanjung Batu.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan yang telah menggantikan rumahnya di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), sekali gus membolehkan beliau bersama isteri dan tiga anaknya tinggal selesa di kediaman baharu.

“Saya amat gembira kerana dapat miliki rumah baharu. Sejak balik ke kampung selepas kejadian pencerobohan itu berakhir, saya dan keluarga terpaksa menumpang di rumah adik di kampung yang sama,” katanya.

Ramai penduduk mengalami nasib yang sama dan kini rumah penduduk Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian yang rosak akibat pencerobohan pengganas Sulu sudah dibaik pulih, manakala rumah yang musnah terbakar diganti dengan rumah baharu.

Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian merupakan antara kampung dalam zon yang terjejas teruk akibat insiden pencerobohan itu.

Ketua Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian Mahmud Mallang berkata sebanyak 103 rumah di kedua-dua kampung itu yang rosak akibat insiden pencerobohan itu sudah dibaiki oleh kerajaan.

Katanya kerajaan memperuntukkan RM12,000 untuk baik pulih setiap rumah dengan 78 daripada rumah itu adalah di Kampung Tanjung Batu dan 25 lagi di Kampung Tanjung Labian.


Sebanyak 45 rumah dibina semula di bawah PPR, (25 Kampung Tanjung Batu) dan (20 Kampung Tanjung Labian) akibat musnah terbakar dalam insiden itu.

Mahmud berkata kesemua rumah PPR itu siap dibina dan dimasuki pada Disember tahun lepas.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan dan tidak lupa juga kepada pertubuhan bukan kerajaan yang membantu kami sejak insiden pencerobohan itu hinggalah kami dapat kembali ke kampung halaman.

“Bantuan seumpama itu dapat membantu penduduk kampung yang kebanyakan mereka termasuk saya sendiri masih tidak dapat melupakan kejadian pencerobohan pengganas Sulu itu,” katanya.

Insiden itu berlaku apabila sekumpulan 100 pengganas Sulu dari Selatan Filipina mendarat di pantai Kampung Tanduo pada 12 Feb tahun lepas.

Dua anggota Pasukan Gerakan Khas VAT 69 dan dua anggota ATM terkorban dalam kejadian tembak-menembak antara pengganas dan pasukan keselamatan pada 1 Mac. Lima belas musuh turut ditembak mati.

Pada 5 Mac, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara di kawasan Kampung Tanduo sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu.

Ia menyebabkan pengganas meninggalkan kampung itu dan melarikan diri ke kampung berhampiran termasuk ke Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian. Pertempuran pasukan keselamatan dengan pengganas Sulu menyebabkan beberapa rumah di kampung rosak dan musnah terbakar.


Rumah Mahmud antara yang musnah terbakar akibat insiden itu menyebabkan dia dan keluarganya pernah tinggal di Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Fajar Harapan Felda Sahabat dan selepas insiden berkenaan, beliau tinggal sementara di Balai Raya Kampung Tanjung Batu.

Selain mendapat kembali kediamannya, Mahmud dan penduduk kampung kini lebih yakin dengan tahap keselamatan mereka berikutan kawalan ketat pasukan keselamatan di sekitar kampung itu dan kawasan pesisir pantai sekitar Felda Sahabat.

Beberapa pos kawalan RAMD diwujudkan di sekitar Felda Sahabat termasuk di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian.

“Kami kini lebih yakin dan tidak lagi risau dengan tahap keselamatan. Kami menganggap terdapat hikmah daripada insiden pencerobohan itu khususnya wujud kawalan keselamatan yang ketat kini dan penduduk kampung dapat menjalani hidup dengan aman,” katanya.

Kebanyakan penduduk yang ke laut sebagai nelayan, kini tidak lagi risau turun ke laut menangkap ikan disebabkan pasukan keselamatan tidak hanya berkawal di kawasan darat tetapi juga di kawasan perairan.

Sehari selepas dua anggota pasukan VAT 69 ditembak kumpulan pengganas, enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota ATM turut terbunuh bertempur dan kemalangan dalam operasi di Lahad Datu.

Berita Berkaitan

Seorang lagi anggota PGA cedera ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

ALOR SETAR: Seorang lagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera selepas terkena tembakan ketika...

Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

PADANG BESAR: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand,...

Lelaki maut alat pemadam api meletup depan rumah

SUNGAI PETANI: Lelaki maut selepas pemadam api kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya di...

Tiga lagi MPV mewah bernilai RM750,000 disita SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita tiga lagi kenderaan mewah milik ejen...

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Moratorium, fakta mana lagi harus diketengahkan? – Najib Razak

Media melapor keuntungan bank-bank Malaysia bagi suku ketiga 2020 (Julai hingga Sept) dijangka akan naik antara 25% hingga 30% lebih tinggi berbanding suku ke-2...