Trio Bersih Mengaku Tidak Bersalah

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua PKR cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Che Gu Bard mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur siang tadi atas tuduhan mengingkari perintah mahkamah yang melarang memasuki Dataran Merdeka, 28 April lalu.

Mereka juga berdepan satu lagi pertuduhan — bersubahat bersama tiga individu dengan menghasut mereka supaya membuka sekatan besi halangan ke kawasan terbabit.

Ketiga-tiga tertuduh tiba di perkarangan mahkamah secara berasingan mulai jam 8:50 pagi sebelum kes mereka mula disebut jam 10 pagi.

Bagi pertuduhan pertama, Datuk Seri Anwar, Azmin dan Badrul Hisham didakwa menyertai satu protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret yang dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April lalu.

Perintah berkenaan bagi melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka.

Kesalahan dilakukan antara jam 2:30 dan 3 petang di sepanjang Jalan Tun Perak.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(2)(C), Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000.

Mereka adalah individu pertama didakwa mengikut akta berkenaan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwaraya Abdul Wahab Mohamad menawarkan ikat jamin RM2,000 bagi setiap tertuduh.

Datuk Seri Anwar turut diwakili bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin yang sebelum ini terbabit dalam pendakwaan kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu.

Hakim Mahmud Abdullah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin masing-masing RM500 manakala bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

Kali ini bagi kesalahan bersama penyokong Bersih yang melebihi lima orang yang masih bebas, bersubahat dengan R. Tangam, G. Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim menghasut mereka membuka sekatan besi halangan di jalan raja.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan ini, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan bon peribadi.

Mahkamah menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kedua-dua kes.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here