Tugas berat PAS menjaga “pasangan kaya dan berpengaruh” serta “anak-anak angkat” yang bermasalah

1. Tidak mengejutkanpun jika PAS mengambil keputusan hanya untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan meneruskan usaha mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) kerana masing-masing sememangnya berada dalam gabungan yang sama.

2. Ini bukanlah pengkhianatan terhadap Muafakat Nasional (walaupun kerjasama ini telah diwujudkan lebih awal sebelum Perikatan Nasional ditubuhkan) kerana PAS sendiri jelas akan memilih perikatan tersebut apabila menjadi antara parti penaja dan pengasas bersama kepada gabungan rasmi politik baharu ini.

3. Hubungan Muafakat Nasional boleh diumpamakan sebagai “baru bertunang” sahaja manakala Perikatan Nasional pula merupakan “perkahwinan yang sah”. Apa sahaja yang dibuat bersama Perikatan Nasional adalah halal dan tidak salah berbanding Muafakat Nasional yang sentiasa “serba salah”. Walaupun bukan khianat tetapi tindakan PAS ini boleh diistilahkan sebagai ‘curang’, apatah lagi PAS memilih untuk “berkahwin dengan kekasih” yang jauh lebih stabil pendapatannya dan berpengaruh. Siapa yang tidak mahu berkahwin dengan kekasih yang lebih menjamin kehidupan pasangannya?

4. Tindakan ini juga lebih baik bagi PAS kerana Bersatu dan Perikatan Nasional merupakan kerajaan memerintah ketika ini dan Muafakat Nasional pula hanya dibentuk lama sebelum PAS menemui kekasih baharunya. Cuma jika ada pihak yang mengatakan PAS sebagai mata duitan, gelap mata dengan pasangan yang berpengaruh atau mengejar kemewahan, PAS tidak boleh berkecil hati melalui tindakannya sendiri, kerana PAS berkata mereka memilih pasangannya itu kerana “demi Islam dan demi ummah”.

5. Cara terbaik untuk menepis tohmahan dan tuduhan liar sebegini adalah dengan meminta pasangannya membuktikan benarkah hubungan mereka yang terbina ini adalah kerana demi agama dan demi ummah? Mendepani dan menyelesaikan isu Tabung Haji dan membela kematian arwah Adib adalah antara dua contoh mudah jika pasangannya itu benar-benar sayangkan PAS dan ikhlas berkahwin kerana Islam dan ummah.

6. Realitinya, sebagai sebuah parti politik, PAS tentunya memikirkan untung ruginya dalam berpolitik, menentukan sokongan yang difikirkannya lebih bermanfaat untuk survival partinya yang kini telahpun menjadi sebahagian daripada kerajaan. Justeru mendukung kerajaan sedia ada bukanlah satu pengkhianatan tetapi satu kesempatan yang baik untuk PAS bagi menterjemahkan perjuangan Islamnya, melainkan pasangannya gagal membuktikan perkahwinan mereka adalah demi Islam dan demi ummah.

7. Cuma apabila Tuan Guru Haji Hadi mengatakan “PAS mengajak semua kumpulan Islam (serta bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem) untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu”, dilihat terlalu klise dan meniru retorik Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat (PAS bersama DAP dan PKR) sebelum ini.

8. Persoalannya PAS ingin “menyelamatkan negara” daripada ancaman apa dan diancam oleh siapa? Ini kerana PAS sendiri kini merupakan sebahagian daripada kerajaan maka slogan “menyelamatkan negara” ini dilihat bukan sahaja janggal malah menimbulkan kekeliruan seolah-olah PAS dan Perikatan Nasional bukanlah kerajaan.

9. Justeru lebih baik PAS memfokuskan dirinya untuk menjaga hubungan perkahwinan yang masih baharu ini daripada berterusan membina persepsi “negara dalam bahaya dan perlu diselamatkan” kerana hubungan sendiripun masih tidak menentu.

10. Apatah lagi kelak PAS lah yang akan membuat semua “kerja rumah” berbanding Bersatu yang tiada akar umbi untuk membantu malah “anak-anak angkat” yang lain juga perlu diuruskan – yang curang daripada perkahwinan lain dengan melompat keluar sehelai sepinggang.

11. Nasihat untuk PAS, dalam perkahwinan ini memerlukan banyak kesabaran, apatah lagi jika mendapat pasangan yang hanya sibuk menjaga dan menambah anak angkat yang lain, manakala kerja-kerja rumah dibiarkan PAS bersendirian. Mujurlah pasangan PAS ini berkedudukan dan banyak duit maka mungkin ini dapat membuatkan PAS tersenyum sedikit walaupun kelelahan.

12. PAS juga dinasihat menjaga baik kelakuan anak-anak angkat pasangannya yang terlibat dengan pelbagai masalah moral termasuk dituduh rasuah, merogol dan semburit serta kes dadah kerana PAS juga yang akan dipersalahkan kelak.

13. Semoga perkahwinan PAS akan kekal abadi dan tidak lagi menjadi seperti perkahwinan-perkahwinan sebelumnya yang terkandas di tengah jalan. Seperti kata orang tua-tua, asyik berkahwin dan berceraipun tidak manis dipandang orang.

Berkaitan