Ugut Tutup Tahfiz Bukti DAP Musuhi Islam, Kata PAS - pakdin.my

*Exco Hal Ehwal Agama Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas terhadap maahad tahfiz yang gagal mematuhi aspek keselamatan.*
PAS Pulau Pinang menyifatkan kenyataan seorang exco kerajaan DAP Pulau Pinang bahawa kerajaan negeri akan menutup maahad tahfiz yang gagal mematuhi aspek keselamatan sebagai ugutan serta cubaan untuk membantutkan pembangunan Islam di negeri ini.
Ketua Penerangan PAS negeri Mohd Yusni Mat Piah berkata gesaan itu jelas tidak akan menyelesaikan masalah sekali gus menjurus ke arah menghapuskan institusi tahfiz di negeri ini.
“Sikapnya itu sangat naif, dangkal dan tidak bertamadun untuk dilakukan pihak yang memegang tanggungjawab dan kuasa pentadbiran kerajaan negeri.
“Malah, menjelaskan kedengkian dan permusuhan terhadap perkara berkaitan Islam yang sering ditunjuk kecenderungan itu oleh DAP selaku teraju kerajaan.
“Sepatutnya beliau bertindak dengan matang dan bijak membantu menangani kekurangan entiti yang telah sedia wujud dan mendatangkan manfaat besar kepada awam seperti menyalurkan dana dan seumpamanya.
“Beliau sendiri mengetahui kebanyakan maahad tahfiz di Pulau Pinang bergerak atas kapasiti persendirian dan mengharapkan sumbangan dana daripada orang ramai bagi membangunkan prasarana dan pengajian mereka.
“Sewajarnya inisiatif itu diperkukuhkan lagi, bukan diranapkan umpama marah nyamuk kelambu dibakar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 15 September lepas, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas terhadap maahad tahfiz di negeri ini yang gagal mematuhi aspek keselamatan, dengan menarik balik kelulusan dan menutup premis mereka.
Abdul Malik berkata pihaknya telah mengarahkan aspek keselamatan di semua maahad tahfiz di negeri itu dipertingkatkan.
Mohd Yusni berkata kemudahan dari segi pengurusan pendaftaran, pembangunan, kebajikan guru dan pelajar perlu dipandang serius dan bantuan kepada maahad tahfiz ini boleh dihulurkan melalui arahan kepada semua jentera kerajaan negeri sebagai sokongan dan kerjasama yang baik terhadap pembangunan institusi berkenaan.
“Bukan bertindak pilih kasih seperti nasib yang pernah dilakukan ke atas Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (Sribu) di Permatang Pauh dan Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (Sria) di Balik Pulau yang dinafikan peruntukan sumbangan kepada mereka atas alasan sekolah ini diurus oleh parti politik PAS.
“Tindakan kerajaan negeri tidak memberikan sumbangan kepada Sribu dan Sria ini jelas menunjukkan sikap hipokrasi terhadap sekolah agama rakyat (SAR) dan maahad tahfiz.
“Sepatutnya mereka ini juga berhak menerima sumbangan sebagai rakyat Pulau Pinang dan berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang,” katanya.
UTAMAPOLITIKUgut Tutup Tahfiz Bukti DAP Musuhi Islam, Kata PAS

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium