UMNO akan bantu Utusan Melayu jika akaun, dana yang disita rejim PH dikembalikan – Najib

UMNO akan menyalurkan bantuan kepada Utusan Melayu (M) Bhd. jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan arahan membeku akaun UMNO dan mengembalikan dana yang mereka sita.

Namun akaun bank UMNO telah dibeku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan dana PRU14 parti itu yang berjumlah RM116 juta turut disita dan dibekukan oleh kerajaan PH.

Berikutan itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru rakyat tampil membantu Utusan Melayu yang bergelut dengan masalah kewangan dengan membeli senaskah akhbar Utusan Malaysia atau Kosmo setiap hari.

Selain itu, beliau mencadangkan perniagaan yang ada bajet pengiklanan mempertimbangkan untuk membeli ruang iklan di Utusan Malaysia atau Kosmo manakala ahli perniagaan yang berkemampuan melihat potensi pelaburan atau kerjasama dengan Utusan Melayu.

Ini kerana syarikat itu masih mempunyai potensi dan kakitangan yang berpengalaman jika diuruskan dengan sebaiknya.

“Kita sama-sama tolong kembalikan zaman kegemilangan Utusan,” tulisnya dalam laman Facebook.
BACA sini: Facebook Najib Razak https://www.facebook.com/157851205951/posts/10156288493210952/

Lebih 150 kakitangan Utusan Melayu bukan eksekutif termasuk penerima Skim Pemisahan Sukarela (VSS) hari ini berpiket selama sejam bermula pukul 1 tengahari di hadapan ibu pejabat syarikat itu di Jalan Utusan, Off Jalan Chan Sow Lin, di sini berikutan kegagalan syarikat membayar gaji mereka.

Malah Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia Mohd. Taufek Razak memberitahu, Pengerusi Eksekutif syarikat akhbar itu, Datuk Aziz Sheikh Fadzir juga memaklumkan mahu menutup syarikat akhbar itu jika pihaknya gagal menjual aset dan mendapatkan wang dalam beberapa minggu ini.

Menurut Najib, beliau yang sedih dan bertambah marah apabila membaca berita bahawa Utusan Melayu mungkin menghentikan operasi pada Rabu ini dan gaji pekerja telah tertunggak berbulan-bulan itu tidak yakin kerajaan PH akan membantu syarikat akhbar tersebut.

“Jangan harap kerajaan PH akan menyelamatkan khazanah budaya dan lidah orang Melayu ini. Oleh itu, inilah masanya rakyat semua tampil ke depan untuk menolong,” katanya.

Tambah beliau, akhbar keluaran syarikat itu telah berjuang untuk orang Melayu dan telah tiba masanya mereka membantu dan berjuang untuk syarikat itu pula.

“Bantulah Utusan. Mereka sebahagian dari kita,” katanya.

Loading...

1 komen

Comments are closed.