UMNO Bahagian Gopeng Tolak Keputusan Ibu Pejabat - pakdin.my

datuk-hamidah

UMNO Bahagian Gopeng sebulat suara menolak keputusan Ibu Pejabat parti supaya pemilihan kesemua jawatan dalam jawatankuasa Pergerakan Wanita bahagian itu diadakan semula Sabtu ini.

Ketua bahagian Datuk Hamzah Kassim menegaskan mesyuarat pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian pada 12 Okt lepas adalah sah dan mengikut kehendak perlembagaan UMNO dan peraturan persidangan.

“Mesyuarat jawatankuasa khas UMNO Gopeng meminta jawatankuasa pemilihan pusat mengkaji semula dokumen berkaitan termasuk senarai kehadiran perwakilan pada hari tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas UMNO Bahagian Gopeng Isnin malam.

Hamzah menyatakan kesal dengan arahan yang dikeluarkan itu kerana tanpa memberikan sebarang alasan.

Beliau berkata bahagian itu berasa hairan kerana bukti-bukti kukuh jumlah keluar mengundi dan kertas undi yang telah dikeluarkan tidak disemak sedangkan kedua-dua perkara itu menjadi bukti utama sama ada berlaku sebarang penyelewengan ataupun tidak dalam pemilihan lepas.

“Pemilihan (semula) tidak sepatutnya diadakan dan (kami) memohon supaya diberi keadilan dan masalah ini tidak sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pemilihan sayap parti pada 12 Okt lalu, Hamidah yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO pusat gagal mempertahankan jawatan Ketua Wanita bahagian itu apabila tewas kepada bekas Ketua Puteri bahagian, Juliliyana Mohd Junid dengan majoriti 20 undi.

Sementara itu, Juliliyana berkata beliau dan pengadu diminta menghadirkan diri ke Ibu Pejabat UMNO pusat Isnin lepas untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

“Keesokan harinya (26 Okt) saya mendapat berita dari jawatankuasa pemilihan bahawa pemilihan semula jawatakuasa akan diadakan semula Sabtu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Perhubungan UMNO Perak Datuk Khusairi Abdul Talib berkata Jawatankuasa Pengurusan Perhubungan negeri menyerahkan kepada Ibu Pejabat dan Jawatankuasa Pemilihan parti untuk mengendalikan pemilihan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya akan memanggil mesyuarat tergempar selewat-lewatnya Khamis untuk berbincang dengan Pergerakan Wanita UMNO negeri, bahagian dan calon yang bertanding untuk menyelaraskan pemilihan semula itu.

“Dalam surat yang diterima UMNO negeri, tiada alasan yang diberikan Ibu Pejabat parti berhubung pemilihan semula itu, tetapi berdasarkan maklumat sahih yang saya perolehi, ada bantahan yang dibuat calon yang tewas iaitu Datuk Hamidah Osman,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di Ipoh Rabu.

Bagaimanapun, katanya, beberapa perkara yang dipertikaikan Hamidah tidak diperjelaskan dan UMNO Pusat telah memanggil anggota Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Gopeng untuk mendapat pandangan mengenai aduan yang dibuat Hamidah.

Khusairi berkata pemilihan semula itu perlu diadakan segera sebelum bermulanya Perhimpunan Agung minggu depan bagi membolehkan Wanita Bahagian Gopeng menyertainya secara sah.

“Apa pun keputusan yang akan diperolehi pada 30 Nov ini, mereka yang terpilih akan mewakili pergerakan bahagian itu ke Perhimpunan Agung,” kata Khusairi.

Beliau berkata UMNO negeri akan melaksanakan tanggungjawab dan arahan yang diberikan UMNO Pusat supaya pemilihan itu dapat diadakan semula dan berjalan lancar.

Surat arahan supaya pemilihan itu diadakan semula dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada UMNO Negeri, katanya.

Ia menyatakan bahawa Jawatankuasa Pengurusan UMNO telah meneliti laporan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Bantahan UMNO dengan dipengerusikan Tan Sri Azmi Khalid dan memutuskan supaya pemilihan jawatankuasa Wanita Bahagian Gopeng diadakan semula.

Beliau berkata di samping itu UMNO Negeri dan Jawatankuasa Pemilihan negeri diminta mengendalikan perjalanan pemilihan tersebut.

UTAMAPOLITIKUMNO Bahagian Gopeng Tolak Keputusan Ibu Pejabat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium