Umno Guna Sistem Pengimbas Kad Tentukan Anggota Layak Hadir Mesyuarat - pakdin.my

Umno akan menggunakan sistem pengimbas kad di peringkat bahagian dan cawangan bagi memastikan hanya anggota yang layak mengikut perlembagaan parti menghadiri mesyuarat serta memilih jawatankuasa akar umbi dan anggota Majlis Tertinggi (MT) parti.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata sistem itu merupakan kaedah terbaharu di peringkat akar umbi kerana parti memberi kuasa serta ruang seluas-luasnya kepada anggota yang layak untuk memilih pemimpin, terutama di peringkat MT.

“Pemilihan kali ini adalah yang pertama selepas pindaan perlembagaan dibuat. Pengimbas kad ini telah digunakan untuk menentukan mereka yang layak sahaja memasuki perhimpunan agung di Pusat Dagangan Dunia Putra tapi untuk peringkat akar umbi, ini adalah kali pertama,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata aspek kaedah dan proses pemilihan serta pengiraan undi akan diperhalusi selepas pihaknya menamatkan siri jelajah penerangan dengan mengambil semua maklum balas sebelum membuat satu rumusan yang terbaik.

Katanya, siri jelajah penerangan berkaitan kaedah baharu proses pemilihan parti akan bergerak ke Negeri Sembilan, Melaka serta Johor pada Selasa dan Rabu ini.

Terdahulu, Abdul Rauf dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali menyampaikan taklimat tertutup berkaitan kaedah baharu proses pemilihan parti kepada lebih 5,000 anggota Umno dari seluruh negeri ini di Dewan Jubli Perak di sini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kehadiran anggota dari 1,700 cawangan Umno di negeri ini memberi petanda baik terhadap tahap persiapan perjalanan mesyuarat agung dan proses pemilihan di peringkat cawangan serta bahagian.

Katanya, beliau yakin akan berlaku persaingan sengit pada pemilihan di semua peringkat kerana anggota Umno di Perak melihat kepada kelangsungan parti lebih-lebih lagi selepas peristiwa pada 2008.

Beliau juga yakin dengan kebijaksanaan anggota memilih pemimpin berdasarkan sistem yang lebih terbuka.

Justeru, semua anggota perlu mengelak daripada terjerumus dalam pertelingkahan yang boleh membahayakan parti dengan mengambil kira kelangsungan Umno serta faktor persekitaran pada masa ini, katanya.

Sebelum ini, MT Umno memutuskan mesyuarat peringkat cawangan perlu diadakan dalam tempoh mulai 15 Julai hingga 31 Ogos, manakala tarikh bagi mesyuarat perwakilan bahagian dan perhimpunan agung akan ditentukan selepas mendapat maklum balas pasukan siri jelajah penerangan.

Perhimpunan Agong UMNO
Perhimpunan Agong UMNO
UTAMAPOLITIKUmno Guna Sistem Pengimbas Kad Tentukan Anggota Layak Hadir Mesyuarat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium