Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) memutuskan tiada pembubaran gagasan itu dan kekal pada status quo sedia ada.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata UMNO dan MIC merasakan tidak ada keperluan untuk membubar BN walaupun cadangan itu di bawa MCA.

“MCA membentangkan berhubung keadaan semasa parti mereka dan apa yang penting, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membentangkan resolusi Perhimpunan Agung MCA.

“Saya ingin menjelaskan bahawa tiada (mencapai) konsensus berkenaan resolusi MCA untuk membubarkan BN, ” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini, hari ini.

Mesyuarat itu adalah yang pertama selepas BN menjadi pembangkang. Hadir sama, Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Menyertai mereka ialah Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chew Mei Fun; Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki.

Perwakilan pada Perhimpunan Agung MCA Ke-65 tahun lalu sebulat suara memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat (CC) untuk memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Mohamad menjelaskan, walaupun tiada konsensus untuk membubarkan BN, mesyuarat itu mengambil kira saranan yang dikemukakan dalam resolusi itu.

Justeru, katanya, Dewan Tertinggi BN bersetuju supaya satu jawatankuasa teknikal ditubuhkan pada peringkat negeri dan pusat secara bersama melihat semula struktur gerak kerja parti dalam menghadapi Pilihan Raya umum ke-15.

“Sesuai dengan semangat yang di bawa BN, semua keputusan berdasarkan konsensus semua, maka dalam hal ini tiada pihak rasa kecil hati atau hanya satu parti menjadi dominan,” katanya.

Mengenai kerjasama UMNO dan PAS, katanya, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat itu dan diterima baik, difahami serta mendapat sokongan penuh rakan komponen.

“Tidak salah untuk kita bekerjasama dengan PAS kerana ia berkaitan penyatuan ummah supaya dapat menjalankan gerak kerja bersama sebagai pembangkang,” katanya.

Mengulas kenyataan MCA dan MIC yang membayangkan untuk keluar daripada BN, katanya tidak ada ditimbulkan isu berkenaan dalam mesyuarat itu.

“Kita bukan dalam kerajaan lagi dan tidak salah menjalinkan kerjasama bagi memperkasakan parti masing-masing. Atas persetujuan bersama parti komponen bergerak dengan ruang masing-masing seperti ditunjukkan dalam pilihan raya kecil (PRK),” katanya

Isnin lalu, MCA dan MIC membayangkan kemungkinan akan keluar BN bagi meneroka satu pakatan baharu yang mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan parti berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, katanya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor masih lagi Setiausaha Agung BN dan perkara itu diperakui ketiga-tiga parti kerana bekas Setiausaha Agong UMNO itu tidak pernah meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatannya.

“Beliau (Tengku Adnan) akan terus berkhidmat sehingga ke satu tarikh tidak ditetapkan dan pelantikan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai Setiausaha Agung BN sebelum ini tidak diperakui kerana tiada konsensus antara parti komponen mengenai pelantikannya,” katanya.

5 KOMEN


TINGGALKAN KOMENTAR

Masukkan komentar anda
Sila masukkan nama anda