UMNO pelopori reformasi – Khaled Nordin #pakdin.my

Reformasi dan pembaharuan adalah retorik politik yang senang diucap tetapi sukar dilaksanakan.

Halangan terbesar terhadap pembaharuan ialah ‘mindset’. Minda yang telah sebati dengan cara lama tidak mudah diubah.

Tetapi untuk kekal pegun dan ‘changeless’ adalah langkah ke belakang, bukan jalan ke hadapan.

Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah meletakkan agenda pembaharuan politik sebagai keutamaan. Penampilan hampir semua calon baru membawa kesegaran kepada kepimpinan dan sangat dinantikan.

Iltizam meminda perlembagaan untuk menghentikan pelacuran politik dengan membenteras politik lompat-melompat jelas sangat diterima rakyat. Insya-Allah akan BN laksanakan segera.

Demikian juga iltizam untuk mewujudkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, bagi menjelmakan keterangkuman dalam perwakilan politik di peringkat DUN.

Belia, aktivis dan pejuang masyarakat adalah mereka yang wajar diberikan suara di DUN.

Tanpa slogan dan retorik yang berapi-rapi, BN telah menjiwai dan menterjemahkan reformasi politik dan institusi dengan lebih tuntas.

Begitu juga semenjak Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Ismail Sabri mengambil alih jawatan, pelbagai reformasi politik telah beliau zahir dan mula laksanakan.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara pembangkang dan kerajaan adalah ‘inovasi’ politik yang telah mencipta kestabilan yang sangat Malaysia perlukan.

Malaysia sekarang telah mempunyai Ketua Pembangkang dengan taraf dan kelayakan seorang Menteri. Insya-Allah pelbagai lagi pembaharuan institusi akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri dalam tempoh MoU Kerajaan Pembangkang beroperasi.

Moral dari semua ini ialah reformasi itu bukan agenda milikan Pakatan Harapan (PH) lagi. BN bukan sahaja tegas untuk melakukan reformasi, malah telah mendahului dalam pelbagai segi.

Malaysia yang lebih baik memerlukan parti dengan ‘sophistication’ politik yang bersifat sezaman. Justeru, bagi BN, pembaharuan adalah suatu kemestian untuk semua pergerakan politik.

PH bukan lagi pelopor pembaharuan di Malaysia. Keputusan di Melaka menunjukkan bahawa sebenarnya PH yang memerlukan pembaharuan, reformasi dan peremajaan.

Anwar dan rakan seangkatannya dalam DAP telah melepasi zaman mereka. Masa untuk penyesuaian pastinya telah tiba.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

Berkaitan