Sunday - July 25, 2021 @ 13:33
BERITANASIONALUmno Punyai Ramuan Mencukupi Untuk Rampas Kembali Selangor - Muhyiddin

Umno Punyai Ramuan Mencukupi Untuk Rampas Kembali Selangor – Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Selayang

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin pelbagai isu yang tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan pembangkang di Selangor mampu menjadi ramuan mencukupi bagi Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata pelbagai masalah seperti isu air yang masih tidak berkesudahan sehingga ke hari ini, selain isu penyelewengan Talam Corporation dan pasir di negeri berkenaan menunjukkan kepincangan dan ketidakupayaan pembangkang memerintah negeri itu.

“Dan kalau kita lihat daripada apa isu dan apa permasalahan yang sudah timbul di negeri Selangor ini, sudah banyak sekali yang telahpun saya kira menyentuh setiap perasaan rakyat Selangor dan juga rakyat Malaysia, apa yang telah dan sedang berlaku,” katanya semasa merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Selayang di sini, hari ini.

Malahan, katanya menerusi beberapa sesi lawatan turun padang sebelum ini, beliau yakin sudah wujud petanda gelombang rakyat yang mahukan kerajaan BN kembali memerintah Selangor.

“Saya tahu, saya turun banyak tempat, banyak yang salam-salam saya… mereka bertanya “Tan Sri bila pilihan raya. Dah tak tahan dah Tan Sri kami nak sokong nak menangkan BN dalam pilihan raya’,” kata Muhyiddin dan menambah bahawa trend yang sama juga berlaku di Kedah.

Namun begitu, beliau berkata anggota Umno dan BN perlu bersedia dari sekarang kerana pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa dan segala permasalahan dalaman, terutamanya perbuatan mensabotaj parti perlu dielakkan.

“Ini bukan satu perkara kecil, nak kembalikan kuasa, bukan sekadar kuasa tetapi kuasa kerana maruah. Dengan kuasa dapat membela bangsa, agama dan negara, memajukan masyarakat, memakmurkan masyarakat, soal pokok kembali kepada kita, ‘Are we ready’ (Adakah kita bersedia),”katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata jentera pilihan raya BN juga perlu memberi tumpuan kepada pusat daerah mengundi (PDM), sebagai tempat di mana parti dapat terlibat secara langsung dengan pemilih di kawasan yang berkenaan.

“Kita tak nak apa yang berlaku di Kelantan pada pilihan raya umum 2004 berulang kembali. Kita kalah di Dewan Undangan Negeri, kalah dengan dua undi tetapi dengan sebab itu kita gagal merampas kembali negeri Kelantan,” katanya yang turut melahirkan kekecewaan kerana hanya 40 peratus daripada PDM di seluruh negeri didapati telah bersedia menghadapi pilihan raya.

Justeru, beliau mahu semua anggota parti berusaha 10 kali ganda lebih kuat bagi memastikan negeri-negeri yang ditadbir pembangkang dapat dirampas kembali pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (depan) memalu gong sebagai gimik perasmian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Selayang

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here