UMNO tidak pernah menyertai PN – Tok Mad - pakdin.my

  • Persefahaman ini berbeza dengan kerjasama politik UMNO dengan Pas yang dikenali sebagai Muafakat Nasional
  • UMNO tidak menghadapi sebarang dilema tentang kedudukannya dalam PN kerana parti Melayu itu tidak mempunyai apa-apa perjanjian dalam apa juga bentuk dengan PN
  • Tugas dan fokus UMNO waktu ini ialah untuk menyediakan parti bagi memenangi pilihan raya akan datang bersama rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN

UMNO tidak pernah menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana ia bukan satu entiti politik yang berdaftar seperti Barisan Nasional (BN) dan kedudukan parti Melayu itu tidak pernah tergugat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, hubungan UMNO dengan PN ialah hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam Pakatan Harapan (PH).

“Secara mudahnya, ia adalah persefahaman untuk membentuk kerajaan dan mentadbir Malaysia kerana kegagalan PH dan tidak lebih dari itu.

“Persefahaman ini berbeza dengan kerjasama politik UMNO dengan Pas yang dikenali sebagai Muafakat Nasional.

“Kerjasama ini diurus secara rasmi melalui Piagam Muafakat Nasional dan telah melalui pelbagai proses sumbangsaran, termasuk dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum Piagam tersebut dimeterai,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Jelasnya, UMNO juga mempunyai kerjasama politik yang mengikat antara MCA, MIC serta PBRS melalui BN sebagai sebuah entiti politik yang terdaftar.

“Maknanya UMNO dan Pas serta UMNO dan BN mempunyai perjanjian kerjasama politik yang teratur, kemas dan terikat.

“Matlamatnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan memenangi pilihan raya sebagai sebuah ‘coalition’. Tetapi jika tidak berjaya sekalipun, kerjasama politik itu akan tetap kekal dan berfungsi.

“Kerjasama ini telah diterjemahkan melalui pelbagai aktiviti, projek dan program politik bersama di pelbagai peringkat agar MN dan BN semakin mengukuh,” katanya.

Beliau menegaskan, UMNO tidak menghadapi sebarang dilema tentang kedudukannya dalam PN kerana parti Melayu itu tidak mempunyai apa-apa perjanjian dalam apa juga bentuk dengan PN apatah lagi PPBM dan GPS.

“Ia hanya menyertai kerajaan atas dasar mendukung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia.

“Sebagai parti politik, tugas dan fokus UMNO waktu ini ialah untuk menyediakan parti bagi memenangi pilihan raya akan datang bersama rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN.

“UMNO akan terus menjadi parti politik Melayu terbesar di negara ini dan Insya-Allah, parti yang akan memenangi paling banyak kerusi dalam pilihan raya umum seperti lazimnya,” katanya.

UTAMAPOLITIKUMNO tidak pernah menyertai PN - Tok Mad

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium