UNCTAD: Ekonomi dunia dijangka bertambah buruk pada 2020 - pakdin.my

Ekonomi dunia dijangka bertambah buruk, dengan petunjuk kemelesetan pada 2020 kini semakin jelas, menurut Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD).

Dalam Laporan Perdagangan dan Pembangunan 2019 yang dikeluarkan hari ini, UNCTAD berkata tanda-tanda amaran mula terbit melalui persekitaran ketegangan perdagangan, pergerakan mata wang, hutang korporat, ketiadaan kesepakatan dalam Brexit serta keluk hasil yang terbalik.

“Ada petunjuk kecil yang menyebabkan penggubal mula bersiap sedia bagi menangani kemelut yang akan datang,” katanya.

Laporan itu menyeru agar tumpuan diberikan kepada meningkatkan pekerjaan, upah dan pelaburan awam bagi menggantikan obsesi penggubal dasar ke atas harga saham, pendapatan suku tahunan dan keyakinan pelabur.

Walaupun dengan mengenepikan tanda risiko kemerosotan yang paling teruk, laporan tersebut meramalkan unjuran pertumbuhan global akan tetap jatuh kepada 2.3 peratus pada 2019 berbanding 3.0 peratus pada 2018.

Beberapa ekonomi baru muncul sudah pun berada dalam masalah, manakala beberapa ekonomi maju seperti Jerman dan United Kingdom semakin menghampiri kejatuhan, kata laporan itu.

Pertumbuhan perdagangan akan lemah mendadak pada tahun ini kepada 2.0 peratus daripada 2.8 peratus, berikutan kelembapan permintaan global yang kemudian, diburukkan lagi dengan tarif unilateral yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Kebimbangan yang lebih besar sebenarnya menjurus kepada ekonomi global yang semakin rapuh serta terlalu bergantung kepada peranan perbankan yang telah bermula sejak krisis 2009.

Sementara itu, laporan tersebut juga menyatakan bahawa hutang telah menjadi satu pendorong yang dominan dalam pertumbuhan global tetapi telah gagal bagi menghasilkan peningkatan yang kukuh dalam pelaburan yang produktif, dan tidak sepatutnya menyemarakkan spekulasi kewangan.

“Dalam persekitaran ini, negara yang membangun melihat hutang berubah daripada instrumen pembiayaan jangka panjang untuk membantu membuka potensi pertumbuhan masa depan mereka, bertukar menjadi aset kewangan berisiko tinggi, tertakluk kepada risiko pasaran kewangan antarabangsa dan menguntungkan kepentingan pemiutang jangka pendek,” katanya lagi. — Bernama

UTAMAEKONOMIUNCTAD: Ekonomi dunia dijangka bertambah buruk pada 2020

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium