UPSI anjur Program Outreach Ramah Mesra di Bagan Datuk mulai Selasa #pakdin.my

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganjurkan Program Outreach Ramah Mesra di Dewan Datuk Lope’ Hashim, Bagan Datuk, Perak selama dua hari bermula esok dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata program dengan kerjasama Bahagian Kemasukan IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi itu bertujuan mempromosi dan menyebar luas maklumat terkini mengenai peluang pendidikan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta Institusi Latihan Kemahiran Awam.

“UPSI adalah universiti pendidikan unggul yang terletak di negeri Perak dan sentiasa menyokong usaha meningkatkan kemajuan pendidikan anak-anak negeri Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Pengarah Akademik UPSI Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli berkata pameran akademik oleh universiti awam termasuk UPSI, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dan Universiti Pertahanan Putra (UPM) turut diadakan sempena program itu.

Selain itu terdapat pameran oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kolej komuniti, politeknik, kolej vokasional, Yayasan Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta pemeriksaan kesihatan.

Program itu menyasarkan guru, ibu bapa dan pelajar B40 di luar bandar yang akan menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berkaitan