UPSI cipta rekod nyanyi 10 lagu patriotik serentak - pakdin.my

upsi-lagu-patriotik-book-record

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas warga institusi pengajian tinggi itu berjaya menyanyikan 10 lagu patrio­tik teramai secara serentak tanpa henti di Dewan Besar, Kampus Sultan Azlan Shah malam tadi.

Pengarah program nyanyian tersebut, Alex Demong berkata, meskipun program itu diadakan di luar sambutan bulan kemerdekaan, semangat patriotik tidak mengenal tempoh waktu.

Katanya, pada awal penganjuran, pihaknya meletak sasaran kira-kira 3,000 pelajar akan menyertai program nyanyian tersebut, tetapi sambutan yang diterima di luar jangkaan apabila 4,000 mendaftar serta mengambil bahagian.

“Dalam program yang berakhir pada pukul 11.30 malam itu, pelajar, kakitangan serta tetamu yang hadir menyanyikan lagu Perajurit Tanah Air, Warisan, Standing in The Eyes of The World, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta, 1Malaysia, Malaysiaku Gemilang, Nyalakan Tekad, Sehati Sejiwa, Jalur Gemilang dan Ke­ranamu Malaysia,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan Biro Perpaduan dan Integrasi, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid dan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.

Sijil pengiktirafan MBOR disampaikan oleh Rosni kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Mohd. Sahandri Gani Hamzah sebaik sahaja ke­semua 10 lagu berjaya dinyanyikan.

Rosni juga mengumumkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada program berkenaan.

Dalam pada itu, Rosni menzahirkan rasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh warga UPSI, khususnya pelajar dalam menjayakan program yang boleh membangkitkan semangat patriotisme terhadap negara tercinta.

Katanya, sebagai negara bermasyarakat majmuk, seluruh rakyat termasuk pelajar universiti harus bersatu padu dalam memupuk semangat patriotik dan perpaduan antara kaum serta kalangan pelajar sendiri.

“Program ini mencerminkan perasaan kasih sayang dan integrasi yang kukuh dalam kalangan pelbagai kaum. Kita seharusnya rasa bertuah dapat hidup aman damai walaupun rakyat berbilang kaum serta pelbagai budaya,” jelas beliau.

Mohd. Sahandri pula berkata, program tersebut dapat memupuk nilai murni dalam kalangan pelajar, selain memberi impak tinggi dalam membina kemahiran insaniah.

UTAMAUPSI cipta rekod nyanyi 10 lagu patriotik serentak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium