UPSI Holdings Perlu Teroka Lebih Banyak Peluang Perniagaan #pakdin.my

upsi-holding

TANJUNG MALIM — UPSI Holdings disaran meneroka lebih banyak peluang perniagaan bagi meningkatkan lagi keuntungan syarikat milik penuh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata UPSI Holdings menyasarkan pendapatan sebanyak RM1 juta tahun ini bagi memperkasakan transformasi universiti untuk terus berdaya saing.

“Antara pencapaian utama UPSI Holdings adalah penjualan Sistem Maklumat Kewangan Bersepadu (MyFIS) kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bernilai RM1.74 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Naib Canselor 2016 di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini hari ini.

Selain itu, Dr Zakaria meminta Pusat Perhubungan Alumni dan Persatuan Alumni Suluh Budiman UPSI agar mengaktifkan lebih banyak Alumni UPSI di luar negara.

Setakat ini Alumni UPSI diwujudkan di United Kingdom, Thailand, Indonesia, Singapura, China, Iraq, Nigeria, Brunei, Libya, Turki, Namibia, Pakistan, Tanzania dan Kemboja.

Pada majlis itu, Dr Zakaria turut melancarkan E-Maklum Balas serta UPSI TV yang dibangunkan oleh Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI Mohd Husyaini Hashim.

Beliau turut menyampaikan sijil Neuro Linguistic Programming kepada kakitangan akademik dan bukan akademik yang menjayakan kursus motivasi itu.

Berkaitan