Usahawan Muda Kek Lapis Sarawak Di Ruang Siber - pakdin.my

kek-lapis

Ramai yang teruja apabila melihat gambar bermacam-macam jenis kek dan biskut perayaan dimuatnaik melalui laman sosial atau dihantar secara e-mel kepada mereka.

Apa lagi proses menempahnya secara online begitu mudah sekali. Mereka yang berminat hanya perlu membayar deposit dalam akaun penjual atau pembekal produk yang dipilih secara online.

Nureffy Jesreel Abdullah, 21, pertama kali berjinak dengan dunia perniagaan dengan menawarkan kek lapis Sarawak pelbagai rasa dan corak di Semananjung Malaysia secara online.

Berbekalkan diploma perbankan daripada UiTM Samarahan, gadis dari Kuching, Sarawak ini bersemangat tinggi untuk muncul sebagai usahawan muda yang berjaya.

BERNIAGA DALAM TALIAN

“Sementara menunggu permohonan saya untuk menyambung belajar di peringkat ijazah sarjana muda, Insya-Allah dalam bidang Kewangan atau Perniagaan Antarabangsa, saya mengusahakan perniagaan kek dan kek lapis untuk Aidilfitri, yang bakal disambut tidak lama lagi.

“Tempahan bagi jualan kali pertama ini memberangsangkan dan saya yakin akan berjaya menjual kek lapis Sarawak hasil kerja seorang rakan baik ibu saya di Sarawak,” cerita Nureffy.

Kek lapis Sarawak ini sesetengahnya didatangkan secara pos dari Sarawak.

Ada yang menempah untuk memakan kek yang dibuat secara kreatif dan berwarna-warni ini sempena bulan Ramadan.

“Saya pulang ke Sarawak sebelum Ramadan baru-baru ini dan balik dengan kek-kek yang ditempah awal itu. Ramai yang membeli awal untuk merasanya terlebih dahulu. Lagipun kek yang sedap dan bermutu dari Sarawak ini tidak berapa mahal,” jelas Nureffy.

Pembeli yang menempah daripada Nureffy ramai yang tinggal di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

MENTEGA

Harga sebiji atau satu ‘loaf’ kek lapis seberat 560 gram bersaiz 200mm x 40mm x 74mm adalah antara RM20 dan RM45.

Manakala sebiji kek lapis seberat 2.8 kilogram adalah antara RM100 dan RM220 bergantung kepada jenis kek.

Kek itu akan dihantar secara pos kepada mereka yang menempahnya dengan kos kiriman ditanggung pembeli pada harga tetap RM10 untuk setiap kiriman.

Ada juga yang akan datang untuk mengambilnya sendiri dan selebihnya akan dihantar ke rumah masing-masing, terutamanya yang tinggal tidak jauh daripada kawasan kediaman Nureffy.

“Semua kek lapis Sarawak yang saya jual dibuat menggunakan mentega ‘Golden Churn,’ yang menjadikan kek lebih ‘lembap’ dan sedap untuk dimakan. Kek lapis yang saya tempah dan jual juga lebih padat dan berat.

“Saya sendiri pun sukakan kek lapis buatan kenalan keluarga kami ini,” kata Nureffy lagi, sambil menunjukkan kek-keknya yang telah siap untuk dikirim kepada mereka yang menempah awal.

Mentega jenis lain juga boleh digunakan tetapi kek kemungkinan berasa kering dan tidak boleh bertahan lama.

Ada juga menyatakan kek yang diperbuat daripada mentega jenama lain tidak sesedap kek yang diperbuat daripada mentega ‘Golden Churn’ yang lebih mahal dan lebih digemari pembuat kek lapis di Sarawak.

Kek lapis Sarawak datang dengan nama-nama yang menarik dan tahun ini Nureffy yang menjual dengan memuatnaik gambar kek jualannya melalui Instagram atau laman ‘Facebook’nya turut menawarkan beberapa perisa baru.

Antara yang ditawarkannya adalah koleksi popular kek Sarawak seperti Kek Lapis Sisik Ikan, Masam Manis dan kek Hati Parek. Jenis-jenis kek lapis baru yang terdapat pada senarai online Nureffy termasuk ‘Oreo Cheese,’ ‘Awan Nano’ dan ‘Ombak Rindu’.

Selain nama-nama kek lapis yang semakin unik hari ini, ramuan yang digunakan dipilih daripada bahan-bahan yang berkualiti sahaja.

JENIS BARU

Menurut Nureffy, pilihan pelanggan untuk kek lapis terbahagi kepada dua kategori.

Ada yang sukakan coraknya yang berwarna-warni serta menarik dan ada pula yang memilih kek lapis berdasarkan rasanya.

Dan mereka ini sanggup membayar untuk barangan yang mereka kenali kualiti serta kehalusan pembuatannya.

Masa yang diambil untuk membuatnya juga lama dan rumit khasnya kaedah penghasilan corak, oleh itu harga jualan kek lapis tinggi sedikit berbanding dengan jenis kek-kek biasa yang lain.

RASA LAWAN CORAK

Kek lapis jenis ‘Cadbury Chunky’, India, Parut Kelapa dan Masam Manis menjadi pilihan mereka yang mementingkan rasa sementara yang memilih kek lapis Pua Kumbu, Marina, Pucuk Rebung dan Batik Sarawak merupakan peminat corak kek lapis Sarawak yang ternyata unik.

Ada juga kek lapis Terendak, Citrawarna dan Keringkam yang turut unik pilihan warna serta coraknya.

“Orang Semananjung suka lapisan warna-warni kek lapis berbanding kek lazim dan coraknya yang cantik bila kek ini dipotong dan hidangkan atas pinggan pada Hari Raya nanti. Sebenarnya kek lapis yang kreatif seperti ini pun sedap. Cuma citarasa pembeli hari ini agak berbeza dan pelbagai,” kata Nureffy.

TAHAN LAMA

Kek-kek lapis ini boleh disimpan dalam peti ais dan tidak dinafikan boleh tahan lama, sehingga sekurang-kurangnya dua bulan.

“Ramai juga pelanggan kek lapis saya tahun ini yang membuat tempahan awal untuk dimasukkan dalam bakul ‘hamper’ Ramadan dan Hari Raya,” tambah gadis muda yang teruja dengan perniagaan barunya.

Kebanyakan tempahan online untuk kek lapis Nureffy datang daripada kawan-kawannya sendiri, yang kemudiannya memanjangkan peluang tempahan kepada kawan-kawan dan keluarga mereka pula.

Itulah keistimewaan jualan online, jualan dapat berkembang dengan sendirinya tanpa disedari selain tidak perlu diusahakan seorang diri.

Ramai pula yang memberi galakan kepadanya. Penulis sendiri menempah kek lapis sisik ikan daripada usahawan muda yang penuh bertenaga ini.

Nureffy juga menjual kek buah-buahan dan kek kismis berkurma merah (atau Red Dates) dengan kek itu dihasilkan oleh ibunya.

Kek di ‘kepala’ meja memang menjadi satu kemestian di kebanyakan rumah orang-orang Sarawak ketika menyambut tetamu semasa Aidilfitri.

Dan kek lapis Sarawak di ‘kepala’ meja peminatnya di Semananjung, melambangkan permuafakatan budaya masyarakat Semenanjung, dan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Persekutuan Malaysia.

UTAMAEKONOMIUsahawan Muda Kek Lapis Sarawak Di Ruang Siber

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium