Usul undi percaya: Kita tengok PH sokong atau tidak

2

Pas percaya Speaker Dewan Rakyat akan menerima usul undi percaya yang akan dikemukakan parti itu pada sesi persidangan Mac ini

Bendahari Pas Pusat yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Pandan, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, usul itu sebagai sokongan parti berkenaan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis tempoh lima tahun.

Katanya, sebelum ini Pas ada mendengar ura-ura pihak sebelah sana akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Dr. Mahathir, tetapi sehingga sekarang tidak dilakukan.

“Kita akan bawa usul percaya pada Dr. Mahathir dalam masa terdekat ini (Mac ini). Sebab kita tunggu mereka nak bawa usul undi tidak percaya, tapi tidak bawa.

“Kita memang dengar ada usul itu, dengar cerita cukup untuk jatuhkan Dr. Mahathir, tapi mereka tidak berani.

“Dengan itu, Pas akan mengetuai usul percaya. Kita nak tengok pihak sebelah sana (Pakatan Harapan) sokong atau tidak sokong. Kita test dia orang, sokong tidak sokong,” katanya pada majlis minum teh dan dialog Assabiqun Kawasan Pas Pandan di Kampung Pandan, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Assabiqun Kawasan Pandan, Hashim Johari.

Iskandar bagaimanapun menyatakan, beliau tidak tahu apa implikasi akan berlaku sekiranya pihak kerajaan menolak usul Pas itu.

Beliau menjelaskan, Pas mempunyai syarat kukuh bagi mengemukakan usul itu agar diterima Speaker untuk dilakukan pada sesi persidangan nanti.

Katanya, tiga syarat ditetap kepada setiap pihak untuk diterima mengemukakan usul, pertama, usul tertentu ada tajuknya; kedua, melibatkan kepentingan ramai; dan ketiga, ianya sesuatu yang perlu disegerakan.