[Video] Covid-19: Singapura kekal terbuka walau dunia ke arah dasar perlindungan - pakdin.my

Singapura berikrar ia berusaha untuk kekal berhubung dengan dunia, walaupun dunia kembali mengamalkan dasar perlindungan di tengah-tengah pandemik Covid-19. 

“Walaupun kami kecil, kami boleh tunjukkan contoh dan mempunyai idea yang baik,” kata Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Chan Chun Sing dalam siri penyiaran pihak kementerian “Making a Living in a Covid-19 World” di sini, semalam.

Chan ketika memberikan contoh, berkata semasa mempromosikan perdagangan bebas, kerjasama awal republik itu dengan Brunei, Chile dan New Zealand akhirnya berkembang menjadi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Bersama dengan New Zealand, kami telah mengeluarkan satu Penyata Bersama Ministerial bagi menentang sekatan eksport dan mendukung rantaian bekalan global. Dari hanya dua pihak, kami sekarang mempunyai sebelas negara pelanggan dan mungkin bertambah,” katanya.

Chan juga menyatakan Singapura sedang membina rangkaian perkongsian ekonomi digital.

Kerjasama itu akan menentukan peraturan persaingan dan usaha sama dalam ekonomi baharu termasuk mewujudkan peluang untuk perkongsian itu mengembangkan pasaran luar negara mereka.

“Kami telah menyimpulkan perjanjian yang sama dengan Australia, Chile dan New Zealand. Kami bakal saksikan pemeteraian yang lebih banyak lagi,” katanya.

Menurut menteri itu, republik tersebut sedang menunggu peluang untuk menandatangani perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada tahun ini.

RCEP yang akan meliputi semua 10 negara anggota ASEAN termasuk Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan, “akan merendahkan kos import untuk pengguna kami serta eksport bagi pengeluar kami.”

“Perjanjian itu dan perjanjian perdagangan bebas yang lain (FTA) akan membuka peluang baharu untuk perniagaan kami dan akan menjadikan kami satu pangkalan pelaburan yang lebih menarik di rantau ini.

“Ini akan menggambarkan kepada dunia mengenai keyakinan serta keazaman kami untuk meneruskan integrasi ekonomi serantau,” kata Chan.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong memulakan siri penyiaran itu pada 7 Jun lepas.

Ia kemudiannya diikuti oleh Menteri Pembangunan Kebangsaan Lawrence Wong pada 9 Jun dan Menteri Kanan serta Menteri Penyelaras untuk Keselamatan Negara Teo Chee Hean pada 11 Jun.

Giliran Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam dijadualkan pada minggu depan. — Bernama

UTAMADUNIA Covid-19: Singapura kekal terbuka walau dunia ke arah dasar perlindungan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium