[Video] Gen-2 Dipandu Lawan Arus Di Lebuhraya PLUS, 1 Maut - pakdin.my

BUTTERWORTH: Seorang pekerja kilang maut apabila sebuah kereta yang dipandu seorang remaja perempuan dilapor melawan arus di Km 134, Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Perai Tengah pagi tadi.

Kejadian 7.50 pagi arah ke utara itu berlaku berhampiran susur masuk ke Permatang Pauh menyebabkan Mohamad Fandi Rosli, 26, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Polis percaya remaja berumur 19 tahun itu yang memandu Proton Gen-2 memandu dalam keadaan mabuk.
“Kereta jenis Proton Gen-2 itu dipandu secara melawan arus dari Sungai Dua menghala Butterworth dan melanggar bahagian hadapan kereta Perodua Kelisa yang dipandu Fandi.

“Kejadian itu menyebabkan kereta dipandu wanita terbabit terbabas ke sebelah kiri dan melanggar sebuah motosikal sebelum ia berpusing beberapa kali dan melanggar pula 2 kereta serta sebuah van kilang,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid.

Beliau berkata wanita terbabit, penunggang motosikal serta 3 pemandu kenderaan lain itu mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Sementara mayat Fandi dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Difahamkan Fandi berasal dari Sungai Petani, Kedah dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas habis bekerja di sebuah kilang di Perai.

Polis menahan serta mengambil sampel darah wanita itu untuk ujian lanjut, kata Nik Ros Azhan.
Beliau berkata kemalangan yang berlaku ketika orang ramai bergegas ke tempat kerja itu menyebabkan kesesakan teruk sejauh 5km di kedua-dua arah lebuh raya.

 

UTAMABERITA Gen-2 Dipandu Lawan Arus Di Lebuhraya PLUS, 1 Maut

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium