25 C
Kuala Lumpur
Friday, April 16, 2021

[Video] Kemelut Penjaja Dan DBKL, Apa Jalan Penyelesaiannya

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah lubuk emas bagi peniaga dan penjaja kecil.

Seperti yang sering dikatakan, cuma mak dengan bapak sahaja tidak dapat kita beli di Kuala Lumpur.

Juallah apa saja, pasti akan laris.

Kalau pucuk ubi, daun kesum atau bunga kantan yang terbiar dan bersepah-sepah di kampung, letakkan meja, pacakkan payung dan letakkan barang-barang tersebut untuk dijual, pasti laku ibarat pisang goreng panas.

Tapi keadaan di kampung dan di bandaraya Kuala Lumpur jauh berbeza.

Di kampung, mana sahaja tempat yang kita fikirkan strategik untuk berniaga, boleh sahaja kita pacakkan payung dan letakkan meja untuk berniaga.

Tidak ada penguatkuasa yang akan datang mengganggu, tidak ada penguatkuasa yang akan datang untuk tanyakan lesen perniagaan.

Tapi di Kuala Lumpur jangan, kalau main pacakkan payung, tak sampai setengah jam penguatkuasa DBKL akan datang suruh beredar, kalau degil juga, sampai pula lori ayam untuk menyita peralatan berniaga.

Keadaan ini menimbulkan konflik yang berpanjangan antara peniaga dan penjaja kecil yang diwakili oleh Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bumiputera Kuala Lumpur dengan pihak berkuasa DBKL.

Adalah tidak adil kalau kita meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pihak DBKL atas tindakan-tindakan yang agak tegas dan keras yang mereka lakukan ke atas penjaja dan peniaga kecil di sekitar Kuala Lumpur.

Walau pun ada kalanya, memang kita akui tindakan yang dilakukan agak keterlaluan, namun pasti ada sebab mengapa tindakan itu diambil oleh pihak penguatkuasa yang menjalankan tugas ketika itu, mungkin ada tindakan provokasi oleh pihak penjaja sendiri.

Admin tertarik dengan wawancara yang dibuat oleh NR ChannelTV dengan Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur, Dato Seri Hj Rosli Sulaiman.

Bagi admin, sebagai seorang yang tiada kepentingan dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu pun dalam Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL), pertembungan antara DBKL dan PPPBWPKL adalah pertembungan antara penguatkuasaan undang-undang untuk memelihara kepentingan semua pihak oleh pihak DBKL dengan perjuangan membela nasib peniaga dan penjaja Bumiputera di Kuala Lumpur terutamanya di era PKP oleh PPPBWPKL.

Kita tahu pihak DBKL sentiasa bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

Kita juga tahu tujuan PPPBWPKL ditubuhkan pada 1994 adalah bertujuan untuk memperjuangkan nasib peniaga kecil dan penjaja Bumiputera di Kuala Lumpur.

Namun hanya selepas diambil alih kepimpinannya oleh Rosli Sulaiman pada tahun 2001, PPPBWPKL dilihat lebih aktif dalam perjuangan persatuan tersebut membela nasib peniaga dan penjaja Bumuputera di Kuala Lumpur.

Tahniah kepada Rosli kerana telah menggalas tanggungjawab beliau dengan baik.

Namun apa yang perlu dilihat di sini, mengapakah selepas 20 tahun menerajui PPPBWPKL, masih banyak lagi masalah yang telah berlanjutan lama masih belum mampu diselesaikan?

Antara isu yang timbulkan Rosli dalam wawancara bersama NRChannelTV ialah tindakan menyita peralatan berniaga penjaja oleh pihak DBKL.

Apakah isu yang amat ditakuti penjaja dan telah berlarutan sekian lama masih belum ada jalan penyelesaiannya?

Ada kala, untuk memastikan perjuangan kita membuahkan hasil seperti yang diharapkan, bukan kuantiti perjuangan yang menjadi faktor penentu tetapi kualiti perjuangan yang akan menentukan sama ada perjuangan kita akan berjaya atau gagal.

Tidak adil sekiranya kita berterusan menuding jari kepada DBKL atas tindakan menyita peralatan perniagaan peniaga.

Kalau tidak ada peniaga atau penjaja melakukan kesalahan, tidak akan ada tindakan penyitaan oleh pihak penguatkuasa DBKL.

Seperti yang admin katakan, DBKL hanya menjalankan penguatkuasaan melalui peruntukan undang undang.

Sudahkah pihak PPPBWPKL mengambil langkah yang lebih pro aktif untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku?

PPPBWPKL perlu memberikan penerangan yang secukupnya kepada peniaga mengenai perkara-perkara ‘do’s’ and don’ts’ kepada semua peniaga dan penjaja Bumiputera untuk mengelakkan mereka diambil tindakan penguatkuasaan oleh penguatkuasa DBKL.


Pihak DBKL juga boleh berbincang dengan pihak DBKL supaya pihak DBKL mewajibkan semua pemohon lesen perniagaan, sama ada yang mahu memperbaharui lesen atau memohon lesen baharu supaya menjalani kursus wajib dengan pihak PPPBWPKL supaya mereka betul-betul faham dengan undang-undang.

Pihak PPPBWPKL juga boleh berbincang dengan pihak DBKL supaya semua pemilik peralatan perniagaan yang telah disita oleh penguatkuasa DBKL boleh mendapatkan semula peralatan perniagaan mereka dengan syarat memohon lesen perniagaan yang sah dan semestinya selepas menjalani kursus dengan pihak PPPBWPKL.

Adalah sangat tidak bijak sekiranya kita hanya mengeluh dan melepaskan kemarahan di laman sosial media kerana ia adalah komunikasi satu hala, di mana pihak yang bercakap atau menyuarakan pendapat dan masalah mereka akan melontarkan kata-kata dari perspektif mereka sendiri tanpa memberi peluang kepada pihak yang lagi satu membela diri.

Betul, ada kalanya meluahkan kemarahan di sosial media boleh membantu menyelesaikan masalah tetapi tidak sepenuhnya, malah ada kalanya ia akan menimbulkan ketegangan kerana ianya boleh membangkitkan perasaan tidak senang di satu pihak yang lain.

Adalah lebih baik dan bijak sekiranya pihak DBKL dan PPPBWPKL mengadakan perbincangan dan meleraikan semua kekusutan dengan mewujudkan ‘win win situation’ kepada kedua-dua pihak.

Demi untuk peniaga Bumiputera yang semakin tertekan, lakukanlah yang terbaik dengan menggunakan kaedah terbaik dan letakkanlah keikhlasan dalam perjuangan kita.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.