Home / :: BLOG :: / [Video] Polis Kelantan kenalpasti dua anggota trafik tendang remaja

[Video] Polis Kelantan kenalpasti dua anggota trafik tendang remaja

KOTA BHARU — Polis mengenalpasti dua daripada empat anggotanya dari Unit Trafik yang dipercayai menendang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun selepas video mengenai perkara itu tular dalam media sosial sejak Ahad lepas.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata pihaknya membuka kertas inkuiri serta menjalankan siasatan dalaman bagi menyiasat secara terperinci kejadian itu.

“Kedua-dua anggota dari Unit Trafik itu berpangkat Konstabel dan berusia lingkungan 20an dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan baharu sahaja memulakan tugas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian empat anggota trafik itu sedang menjalankan tugas rondaan dan ternampak seorang remaja menunggang motosikal telah melanggar isyarat lampu.

Ketika dikejar penunggang motosikal itu dikatakan menghimpit motosikal anggota trafik hingga menyebabkan anggota itu terjatuh.

“Bagaimanapun, remaja berkenaan berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan. Pemeriksaan mendapati remaja berkenaan dipercayai memecut motosikal dan cuba melarikan diri disebabkan tidak memiliki lesen serta cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata tindakan itu tidak sewajarnya diambil oleh seorang anggota polis dan ia tidak mencerminkan kelakuan seorang anggota keselamatan.

Katanya, setakat ini laporan polis hanya dibuat oleh anggota trafik berkenaan dan masih dibenarkan bertugas manakala tiada laporan diterima daripada pihak remaja berkenaan. — Bernama

LIHAT video:
https://youtu.be/KX7N79V5qtY

(Visited 176 times, 1 visits today)

Artikel berkaitan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.