[Video] Polis rampas dadah RM 3.5 juta - pakdin.my

DISIFATKAN antara rampasan dadah terbesar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 18 Mac lalu hingga semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai kira-kira RM 3.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah itu dengan merampas syabu seberat 61 kilogram (kg) dan Erimin 5 seberat 11.65 kg.

Beliau berkata, kejayaan itu susulan serbuan dilakukan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa bersama pasukannya di sebuah rumah di Jalan Bagan Pasir, Tanjong Karang, 5 petang, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua dadah itu disorok di rumah berkenaan. Rampasan membabitkan 4 guni plastik yang di dalamnya mengandungi 15 plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 61 kg.

“Turut dirampas, empat bungkusan dibalut pita pelekat kuning dengan setiap satu daripadanya mempunyai 74 ikatan gulung getah mengandungi dadah jenis Erimin 5 seberat 11.65 kg,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media di Allamanda Hall, IPD Kuala Selangor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menahan ahli sindiket yang melibatkan enam sekeluarga di mana tiga daripadanya adalah kanak-kanak.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung bekalan dadah itu diperoleh dan aktiviti pengedaran membabitkan suspek berusia 36 hingga 64 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pihaknya giat mengesan seorang lagi individu, Azam Mohamad Tasik, 30, bagi membantu siasatan.

“Kita minta dia tampil segera ke IPD Kuala Selangor untuk membantu siasatan.

“Semua suspek yang ditahan tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kami masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, dua daripada tiga suspek berusia 36 dan 48 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

UTAMABERITA Polis rampas dadah RM 3.5 juta

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium