[Video] Rakaman perbualan Ismail Sabri bersama Shamsul Iskandar berkaitan krisis Melaka tersebar - pakdin.my

Satu lagi klip audio tular melibatkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertebaran dalam media sosial, kali ini beliau berbual dengan seorang pemimpin atasan PKR berhubung kemelut politik yang melanda Melaka baru-baru ini.

Suara kedua dalam klip audio itu yang mirip Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, turut membincangkan berkaitan tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Suara yang mirip Ismail Sabri juga sekurang-kurangnya dua kali meminta pengesahan Shamsul sama ada Pakatan Harapan (PH) akan membawa isu pembubaran DUN ke mahkamah.

“So you all nak, nak challenge (cabar) kat mahkamah lah ni?,” soal suara mirip Ismail Sabri kepada Shamsul.

Selain itu Ismail Sabri juga bertanya kepada Shamsul sama ada boleh atau tidak Yang di-Pertuan Negeri Tun Ali Rustam menarik balik perisytiharan pembubaran DUN, ia mungkin boleh menyebabkan kerajaan dan Yang di-Pertua Negeri mendapat malu.

Untuk rekod kedua-duanya Ismail Sabri dan Shamsul adalah lulusan undang-undang. Ismail Sabri adalah lulusan undang-undang Universiti Malaya dan Samsul pula lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Antara perbincangan itu termasuk pertanyaan Ismail Sabri kepada Shamsul:

“Boleh ke former Ketua Menteri (KM) boleh jadi KM caretaker? Tak boleh?” yang kemudian dijawab oleh Shamsul, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak boleh menjadi KM sebab sudah hilang majoriti.

Suara mirip Ismail Sabri juga berkata apa yang beliau tahu adalah bekas Exco Melaka, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan pada jam 2 petang tapi DUN dibubarkan pada 11 pagi dan ketika itu Sulaiman masih ada majoriti.

Dalam perbualan itu Shamsul juga memberitahu Ismail Sabri selepas KM hilang majoriti, beliau perlu meletak jawatan atau meminta DUN dibubarkan.

Bagaimanapun, ia perlu melalui proses tertentu iaitu Yang di-Pertua Negeri perlu memanggil kedua-dua pihak iaitu Sulaiman dan Idris untuk pengesahan pihak yang memperoleh majoriti sebagaimana dilakukan di peringkat Persekutuan.

Krisis politik Melaka sebelum ini tercetus susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan UMNO pimpinan Sulaiman.

Ali kemudian dilaporkan bersetuju membubarkan DUN selepas dikatakan bertemu Sulaiman.

Persetujuan pembubaran DUN itu diumumkan Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 7 Oktober lalu dengan pengesahan Proklamasi Pembubaran DUN Melaka itu diwartakan.

UTAMAPOLITIK Rakaman perbualan Ismail Sabri bersama Shamsul Iskandar berkaitan krisis Melaka tersebar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium