25 C
Kuala Lumpur
Friday, April 16, 2021

[Video] Seorang rentung nahas 2 lori terbakar

MELAKA: Seorang pemandu lori rentung apabila kenderaan dipandunya terbakar akibat nahas dengan sebuah lori tangki membawa muatan cecair nitrogen di Kilometer 221 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 5.40 pagi berlaku berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, di sini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Soon Wee Kiang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.41 pagi.

Susulan itu, beliau berkata, anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BBP Ayer Keroh serta BBP Rembau dikerahkan ke lokasi.

“Kemalangan berlaku di laluan dari arah Pedas-Linggi menghala ke Melaka membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan cecair nitrogen dengan lori 10 tan.

“Kejadian dilapor membabitkan dua mangsa. Akibat nahas itu, kedua-kedua kenderaan berkenaan musnah terbakar kira-kira 90 peratus.

“Pemandu lori tangki itu dilaporkan terselamat, manakala seorang lagi pemandu rentung,” katanya.

Beliau berkata, api telah berjaya dikawal serta dipadamkan sepenuhnya, dan kerja mengeluarkan mangsa rentung sedang dijalankan.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.