29.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 29, 2020

Wacana berbisa Raja Nazrin

Raja Nazrin Shah

INTI pati ucapan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah pada majlis Wacana Ilmu Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertajuk Peranan Institusi Raja Melayu dalam memupuk perpaduan warga, baru-baru ini dianggap berbisa dalam konteks konflik sosiopolitik, budaya dan ekonomi Malaysia.

Pandangan kritis pihak yang berada dalam sistem pemerintahan beraja itu sendiri, menjadikan ucapan itu dalam kategori kritikal yang dominan. Ucapan berbentuk analisis intelektual mengikut urutan sejarah dan realiti itu membawa sesiapa saja melihat ke dalam diri, bermula dengan kewujudan institusi Kesultanan Melayu seterusnya struktur masyarakat hingga ke konflik era moden yang rakyat mempunyai kepelbagaian kepentingan, jarang didengar secara tulus dan telus pada mana-mana wacana intelektual walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kuat kepada amalan sistem demokrasi berparlimen.

Tidak ramai yang mempunyai pandangan kritikal, tidak mempunyai kewibawaan dan kebolehpercayaan diri, kurang daya intelektual dan ramai juga yang takut bersuara. Sebarang pandangan yang kritikal terhadap sistem ini, sama ada diungkapkan oleh rakyat biasa, tokoh intelektual atau ahli politik, apatah lagi bercakap soal institusi raja, pasti mengundang reaksi berbeza dan bercanggah. Raja Nazrin sendiri mengakui tema wacana itu mengundang pelbagai pandangan, namun yakin ia akan mencapai satu laluan intelek yang akan mencetuskan pertemuan pemikiran secara objektif dan rasional. Baginda tidak segan silu mengatakan yang pahit terhadap setiap tindakan institusi yang bertapak dalam sistem pemerintahan negara hari ini yang memberi, khasnya mengenai institusi raja dan hubungan rakyat dan raja sejak zaman Kesultanan Melaka.

Banyak peristiwa dilalui, banyak pengalaman sudah dijadikan pengajaran dan sempadan. Baginda, umpamanya bercakap soal usaha menyatupadukan rakyat yang dianggapnya sebagai cabaran amat besar dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbeza kaum, agama, bahasa, tahap pendidikan, geografi, demografi dan sebagainya. “Memupuk perpaduan adalah impian besar, adalah hasrat besar – adalah tugas besar. Impian, hasrat dan tugas besar tidak mungkin dicapai melalui formula yang terlalu simplistik. Ia tidak dapat dicapai melalui sambutan berunsur perayaan – melalui pesta – melalui jamuan – melalui perhimpunan. Ia tidak dapat dicapai melalui slogan, melalui nyanyian, melalui adukan pelbagai tarian dalam irama yang satu, melalui pakaian batik yang seragam. Ia tidak dapat dicapai melalui program politik yang berpihak – melalui program agama yang berpuak – melalui program berbentuk kosmetik. Usaha memupuk perpaduan memerlukan ramuan yang lebih kreatif, pendekatan yang lebih efektif, pelaksanaan yang lebih konsisten, minda yang lebih terbuka. Lebih daripada itu ia menuntut kepada perekayasaan dasar, menuntut kepada program bertindak yang realistik lagi produktif, lahir dari ketulusan hati – dicetus dari kejujuran niat; dibeningkan dengan sifat rendah diri – diheningkan dengan sifat yang tidak angkuh. Ia memerlukan pelaksanaan yang bersungguh oleh individu – oleh organisasi – oleh institusi yang benar-benar komited; hingga gerak kerja dan pendekatannya benar-benar menyentuh sanubari warga – dihayati warga; hingga memberikan keyakinan kepada warga akan hasil dan nikmat dari kejayaan pelaksanaannya.”

Pandangan baginda yang mungkin dipersetujui dan mungkin juga boleh dipertikaikan tetapi ia disampaikan secara objektif. Jika pandangannya ini betul, apakah tindakan pembetulan boleh dilakukan segera terhadap usaha memupuk perpaduan. Apakah segala-galanya sudah terungkai menerusi gagasan 1Malaysia yang hari ini kian difahami rakyat. Apa pun Raja Nazrin sudah menyatakan pandangannya yang boleh diperdebat dan diperincikan lagi. Berbeza dengan ucapan mereka yang mengkritik kerajaan, khasnya pembangkang pada setiap majlis hingga ke surau atau melalui tulisan yang bermotif politik. Kebanyakan ucapan pemimpin pembangkang disenarai dalam kategori lantang tetapi tidak objektif. Kritik pembangkang terhadap institusi pemerintahan bermotif politik dan berubah mengikut kemampuan individu yang berhujah, sering berlaku percanggahan sesama sendiri akibat ideologi politik yang berbeza. Teguran atau tuduhan yang mereka gunakan juga adalah bahan politik yang dipilih untuk mempengaruhi pemikiran dan keputusan politik rakyat. Pihak yang mempertahan serangan daripada pembangkang pula, khasnya mewakili kerajaan terpaksa pula menggunakan hujah politik dan membuat serangan balas.

Keadaan ini berlaku setiap hari dan tidak pernah ada keputusannya walaupun selepas rakyat membuat kata muktamad pada pilihan raya. Di negara demokrasi, khasnya di Malaysia, hujah politik berlaku setiap hari. Ia bermula sebaik saja keputusan pilihan raya sesuatu penggal diumumkan dan berterusan sehingga pilihan raya berikutnya empat atau lima tahun kemudian dan bersambung sekali lagi sebaik saja keputusan pilihan raya penggal berkenaan diumumkan.

Keadaan ini berlaku kerana cara ini sudah menebal di kalangan pembangkang – pemimpin dan pengikutnya, bahawa apa saja tindakan kerajaan buruk belaka. Pemikiran mereka diguna untuk mencari keburukan kerajaan dan kelemahan peribadi pemimpin. Mereka menggunakan teori bahawa untuk memburukkan kerajaan, cari kelemahan dan keburukan pemimpinnya. Perbincangan yang sepatutnya berlaku di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dilanjutkan ke setiap penjuru alam hingga perhimpunan besar-besaran yang menjadikan Malaysia sebagai negara paling aktif politik. Pencarian terhadap keburukan ini menyebabkan pembangkang tidak objektif.

Keadaan sebaliknya juga berlaku kepada mereka yang berada dalam kerajaan yang terpaksa pula mematahkan hujah pembangkang sama ada di Parlimen atau di gelanggang politik yang dianjurkan bersama rakyat sehingga di kedai kopi. Pandangan kerajaan pula biasanya dianggap pembangkang sebagai helah dan mengurus alasan. Pembangkang lupa yang mereka juga memerintah di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang sering menghadapi cemuhan rakyat dan pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan. Jawapan mereka kepada rakyat juga adalah berhelah. Ini membuktikan perang persepsi berlaku setiap hari, ibarat siang tanpa malam. Kerajaan sentiasa berada pada pihak serba salah. Ada isu yang dibangkitkan perlu dilayan dan ada perkara terpaksa didiamkan. Pembangkang mula melihat apa juga pendedahan mereka yang tidak dilayan dianggap sebagai satu kebenaran. Mereka menjadi lebih lantang yang tidak objektif. Tidak semua pendedahan pembangkang yang tidak berjawab itu benar. Ada perkara yang tidak boleh didebat secara terbuka tetapi perlu dibuat menerusi proses undang-undang khasnya yang terlalu berbentuk peribadi. Disebabkan terlalu banyak pendedahan dan tuduhan, proses undang-undang hanya berlaku beberapa tahun selepas sesuatu perkara dibangkitkan kepada umum.

Ini tidak bermakna mereka yang membuat pendedahan terbuka termasuk melalui media dan blog, boleh menganggap diri mereka selamat. Setiap mereka yang menghadapi tuduhan khasnya tuduhan yang tersiar di media sebagai bahan bukti, mungkin dinasihatkan supaya berdiam diri tetapi bertindak melalui saluran undang-undang. Tiba-tiba saja seseorang mendapat surat saman daripada peguam sedangkan pendedahan yang mereka bangkitkan itu sudah lama sejuk. Kebenaran daripada pandangan dan perselisihan politik yang kritikal semata-mata tidak boleh diterima bulat-bulat kerana ia bersandarkan kepentingan peribadi.

Raja Nazrin melihat suasana perselisihan politik ini dalam nada yang berbeza tetapi kritikal.

“Hikmah dan kebijaksanaan amat penting untuk mentafsir secara saksama akan situasi rumit yang sedang berlegar dalam orbit negara ketika ini. Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan, tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua; tetapi kaedah mencari kemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama. Jika suhu politik semakin panas, dikhuatirkan impian untuk membina perpaduan mungkin akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan,” sekali lagi Raja Nazrin melemparkan pandangannya.

Berita Berkaitan

Isu peralihan Kerajaan Pusat? Istana Negara akan keluar kenyataan rasmi petang ini

Istana Negara dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi petang ini. Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan...

#PRNSabah: Perjanjian Malaysia MA63 mendapat perhatian penuh Najib Razak

Perjanjian Malaysia MA63 hanya mendapat perhatian penuh kerajaan BN dahulu semasa saya PM. Di zaman...

Komen

..

BERSATU Mungkir Janji, Bung ‘Mengamuk’ Di Hadapan Hajiji

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dikatakan mengamuk di hadapan Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Seri Hajiji Noor...

#PRNSabah: Perjanjian Malaysia MA63 mendapat perhatian penuh Najib Razak

Perjanjian Malaysia MA63 hanya mendapat perhatian penuh kerajaan BN dahulu semasa saya PM. Di zaman sebelum itu, Tun Mahathir akan penjarakan sesiapa yang membangkitkan isu...

Arkib / Carian

993PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,347PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan