Wajar Pinda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Selari Keperluan Semasa - pakdin.my

undang-undang-siber-malaysia

Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) wajar dilakukan memandangkan penggunaan media sosial yang berleluasa pada masa kini, menyebabkan ia sukar dikawal selain memberi kesan yang besar terhadap pelbagai perkara termasuk isu rakyat dan negara.

Pensyarah Program Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohd Nur Najmi Nuji berkata ketika akta itu digubal pada 1998, penggunaan media sosial masih belum meluas di negara ini dan situasi semasa juga tidaklah ‘sehebat’ hari ini di mana teknologi cuma di hujung jari.

“Pindaan wajar dilakukan dengan menitikberatkan aspek kandungan dan sumber yang memulakan sebarang maklumat sehingga ia tersebar dan menjadi ‘viral’ dalam media sosial.

“Keadaan demikian berlaku kerana, seperti kita sedia maklum tiada seorang pun yang menjadi ‘gatekeeper’ bagi mana-mana media sosial. Justeru, kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme bagi mengesan individu yang tidak bertanggungjawab terutama dalam menyebar berita palsu dan fitnah,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memperkemas undang-undang dan meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani penyebaran fitnah dalam media sosial.

Beliau turut menasihati rakyat agar tidak terlalu taksub dengan berita dalam media sosial sehingga menjadi punca kepada sesuatu kejadian, peristiwa atau insiden yang tidak diingini terutamanya yang dilihat menyentuh isu perkauman dan yang mencetuskan perbalahan antara satu sama lain.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang mengakui wujudnya keperluan untuk mengkaji semula AKM, berpendapat penggunaan internet dan media sosial dilihat dipelopori terlalu meluas tanpa mematuhi undang-undang.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa cadangan pindaan akta itu serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 bukanlah bertujuan menyekat kebebasan rakyat menggunakan media sosial dan internet sebaliknya bagi memastikan dunia tanpa sempadan ketika ini tidak disalahguna sehingga boleh mengancam kepada berlakunya jenayah.

Adakah penggunaan media sosial ketika ini berada di tahap melampau dan memberi kesan negatif terhadap rakyat?

Menjawab persoalan itu, Mohd Nur Najmi berkata ia bergantung kepada isu dan perkara yang dimuat naik dalam media sosial dan kesannya terhadap masyarakat.

“Ini kerana masyarakat hari ini bukan lagi seperti dahulu yang hanya menerima maklumat secara terus tanpa mempersoalkan apa-apa. Penilaian dan pencarian maklumat ketika ini terlalu meluas dengan adanya teknologi dan kewujudan media alternatif.

“Perkara ini (penyebaran sesebuah isu) sebenarnya tidak menjadi masalah jika wujud ketelusan dalam menyampaikan maklumat yang sepatutnya perlu diketahui umum,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Mohd Nur Najmi berkata dalam usaha mengawal penyebaran berita palsu dan mengelakkan rakyat percaya ‘membabi buta’ sesuatu perkara terutama apabila ia menjadi viral, maklumat dan berita sahih sepatutnya disampaikan melalui media arus perdana bagi mengelakkan rakyat curiga dan lebih mempercayai media alternatif.

Ditanya mengenai cara ideal bagi mengimbangi penggunaan media sosial dalam aspek kebebasan bersuara namun pada masa sama masih menjaga batasannya, beliau menjelaskan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut tentang kebebasan bersuara secara tidak langsung membuatkan kebanyakan rakyat berpegang kepada prinsip itu.

“Ideologi dan doktrin pemikiran bermula di peringkat atasan dan diaplikasi oleh rakyat. Namun, jika mahu mewujudkan sebarang kawalan terhadap media sosial, ‘gatekeeper’ adalah jawapannya,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Presiden Dewan Media Sosial Malaysia Shahul Hameed Shaik Dawood berpendapat adalah lebih baik sekiranya masyarakat di negara ini diberi pendedahan dan ilmu secukupnya berhubung sesuatu isu atau dasar agar mereka tidak mudah percaya kepada fitnah serta berita palsu yang disebarkan.

“Kerajaan membelanjakan ratusan juta untuk penyebaran pendidikan agama serta maklumat melalui media cetak dan media elektronik. Jika ratusan juta serta kuasa kerajaan masih tidak mampu melawan arus media sosial, mungkin terdapat kelemahan dalam beberapa aspek lain yang perlu dinilai dan diperbaiki.

“Memperbaiki sebarang kelemahan adalah jauh lebih berkesan daripada tindakan menyekat penggunaan media sosial. Kita tidak boleh mendakwa bahawa media sosial adalah medium yang memutarbelitkan sesuatu isu hanya kerana perbuatan beberapa orang yang tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.

Pada masa sama Shahul Hameed juga berpendapat bahawa internet bukanlah satu medium yang mudah disekat kerana terdapat pelbagai teknologi yang boleh diguna bagi mengelakkan sekatan itu.

“Sungguhpun kami mencadangkan kerajaan supaya tidak mengawal media sosial, namun begitu kami menggesa para pengguna supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati privasi setiap individu,” katanya.

UTAMAWajar Pinda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Selari Keperluan Semasa

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium