27.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 20, 2021

Walaupun Perbelanjaan Dikurangkan, Rakyat Tetap Didahulukan

pengubahsuaian-bajet-2016

Pengubahsuaian Bajet 2016 susulan kedudukan ekonomi global yang tidak menentu bukan sahaja melibatkan pengurangan perbelanjaan tetapi ia juga memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat Malaysia, terutama yang berpendapatan rendah, untuk menangani kos sara hidup yang meningkat.

Walaupun kerajaan akan lebih berhemah dalam perbelanjaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan, ia masih memberi keutamaan kepada projek-projek dan program yang memberi manfaat kepada rakyat.

Langkah-langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini untuk pengubahsuaian bajet ialah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan yang lebih penting untuk melindungi kesejahteraan rakyat.

Najib berkata satu daripada langkah tersebut ialah mengurangkan potongan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus. Langkah ini dijangka meningkatkan perbelanjaan sektor swasta sebanyak RM8 bilion setahun.


Satu lagi langkah ialah memberi pelepasan cukai RM2,000 kepada pembayar cukai yang berpendapatan RM8,000 atau kurang sebulan. Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira dua juta pembayar cukai.

Bagi mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat, kerajaan akan meliberalisasikan kuota import (AP) bagi lapan produk pertanian termasuk biji kopi mentah dan daging.

Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Najib berkata program MyBeras akan diperkenalkan dengan setiap kumpulan miskin tegar yang berdaftar akan menerima pemberian 20kg beras setiap bulan sehingga Disember 2016.

Pengubahsuaian bajet juga tidak lupa memberi tumpuan kepada usaha menyediakan perumahan mampu milik dan selesa.

Berkuat kuasa serta merta, semua rumah berharga sehingga RM300,000 di projek-projek perumahan baharu terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.

Langkah lain yang digariskan oleh perdana menteri termasuk menambah peruntukan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan syarikat-syarikat permulaan. Peruntukan itu ialah dari institusi-institusi kewangan pembangunan dan dana modal teroka milik kerajaan.

Ketika menjelaskan tentang perlunya bagi pengubahsuaian bajet, Najib menarik perhatian kepada realiti ekonomi global semasa terutama kejatuhan harga minyak mentah dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan di Amerika Syarikat dan China.

Perdana Menteri berkata langkah-langkah penstrukturan dan pengubahsuaian Bajet 2016 dijangka dapat menjimatkan RM9 bilion perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Najib, bagaimanapun, memberi jaminan bahawa pemberian program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan program bantuan kebajikan lain akan diteruskan.

Beliau berkata pengubahsuaian bajet itu tidak melibatkan emolumen penjawat awam dan pencen untuk pesara dan juga tidak menjejaskan mekanisme penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Kerajaan tidak akan memberhentikan khidmat mana-mana kakitangannya termasuk pegawai lantikan secara kontrak.


Najib berkata kerajaan telah memutuskan untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2016 kepada 4 hingga 4.5 peratus. Unjuran awal ialah antara 4 hingga 5 peratus.

Beliau juga berkata Malaysia tidak akan mengenakan kawalan modal atau tambatan Ringgit seperti dilakukan semasa krisis kewangan yang melanda Asia pada 1997-1998.

Najib yakin bahawa negara dapat mengatasi “cabaran sukar” masa kini.

“Kita telah melakukannya dahulu, insya-Allah, kita dapat melakukannya sekali lagi,” kata beliau.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.