Wang zakat disalur melalui ketua cabang: PKR Selangor perlu siasat – Mat Nadzari #pakdin.my

Mat-Nadzari-Ahmad-Dahlan

Gesaan untuk menyiasat anak syarikat negeri Selangor yang didakwa menyalurkan wang zakat melalui ketua cabang bukan perkara remeh temeh kerana ia menimbulkan keraguan banyak pihak.

Jelas Naib Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan,

“Kalau betul wang zakat itu disalurkan melalui ketua cabang, kerajaan negeri memang kena jelaskan pada umum, kenapa tidak melalui MAIS? Kenapa wang zakat itu tidak diberikan kepada anak tempatan yang perlu untuk kita bantu mereka terlebih dahulu? adakah wang tersebut mempunyai agenda tertentu dan mungkin juga agenda politik?

“Dan kalau betul dakwaan yang saya sebutkan itu, jelas tindakan tersebut memang tidak menghormati rakyat di negeri Selangor, dan cubaan untuk membelakangkan Sultan sebagai Penasihat Agama,” katanya ketika dihubungi BNBBC.my.

Beliau berkata demikian bagi membidas kembali kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei yang menyifatkan Nadzari terlalu naïf kerana membawa perkara yang remeh temeh untuk dijadikan suatu perkara yang serius.

Terdahulu, Nadzari dalam kenyataannya membangkitkan persoalan kerana kerajaan negeri anak syarikatnya, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) tidak menyalurkan bantuan zakat itu melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) atau secara terus kepada kerajaan negeri yang terlibat.

Tambah Nadzari, tindakan kerajaan Selangor memperuntukkan bantuan zakat berjumlah RM5 juta yang didakwa disalur menerusi ketua-ketua cabang PKR amat meragukan.

“Saya suruh siasat dulu, kalau tak benar, tak apalah, kalau benar, benda ni kena dijelaskan kepada orang awam, mereka berhak untuk tahu kenapa duit tersebut tidak diberikan kepada rakyat Selangor yang sepatutnya berhak untuk terima.

“Kita tak nak lah duit tersebut disalurkan kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya, seperti ada agenda politik ataupun sebagainya, bermakna Menteri Besar Selangor juga patut tahu tentang perkara ini,” ujarnya.

Berkaitan