Wanita dakwa PU Abu buli anak, ‘suruh buka baju’ depan kelas

Belum reda isu penceraian PU Abu, seorang wanita mendakwa pendakwah itu “membuli” anaknya ketika mengajar di sekolah agama rakyat di Bandar Baru Selayang.

Zahara Mohd Yusof, 42, mendakwa anaknya Akmal Hareez Kamal Affendi pernah dimalukan PU Abu atau Abu Sufyan Muhamad Mokhtar Rozaidi ketika darjah tiga pada 2016, lapor mStar Online.

“Oh ya… anak aku ni jenis bambam orangnya. Ustaz ni suruh anak aku ke depan kelas dan dia bukakan baju Melayu anak aku sampai nampak t***k dia,” katanya di Facebook semalam.

“Lepas tu dia boleh perah t***k anak aku depan satu kelas sambil suruh satu kelas gelakkan dan standby (bersiap sedia) baling botol air pada anak aku,” kata ibu kepada empat anak.

Berikutan Akmal kerap menangis dan enggan ke sekolah, beliau bersama suami dan ibunya menemui pengurusan sekolah tetapi terkejut apabila PU Abu “selamba je cakap dia nak bergurau”.

Walau Zahara sudah memaafkan PU Abu tetapi beliau menganggap kejadian itu meninggalkan kesan kepada anaknya yang kerap diejek sehingga terpaksa menukar ke sekolah agama lain.