Wanita rentung kenderaan dinaiki bertembung pacuan empat roda

Bagaimanapun, identiti mangsa rentung setakat ini belum diketahui

LAHAD DATU – Seorang wanita rentung selepas motokar yang dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian kemalangan di Jalan Dam, Simpang Putatan, Lahad Datu, pagi tadi.

Bagaimanapun, identiti mangsa rentung setakat ini belum diketahui manakala seorang mangsa pacuan empat roda yang cedera ringan telah dikejarkan ke hospital Lahad Datu untuk rawatan.

Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah, Pegawai Bomba Kanan II Julkifli Harry dalam kenyataan medianya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemlangan itu kira-kira pukul 6.24 pagi.

Sejurus selepas itu, sepasukan 8 anggota respon ke lokasi kejadian menggunakan FRT dan EMRS.

Beliau berkata, mangsa yang rentung dikeluarkan pihak bomba diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan susulan.

Katanya, pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum menamatkan operasi 7.11 pagi.