Wanita Umno Bahagian Gopeng Diarah Adakan Semula Pemilihan Jawatankuasa - pakdin.my

datuk-hamidah

Pergerakan Wanita Umno Bahagian Gopeng diarah mengadakan semula pemilihan bagi kesemua jawatan dalam jawatankuasanya pada Sabtu ini oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno Pusat.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib

berkata pihaknya akan memanggil mesyuarat tergempar selewat-lewatnya esok untuk berbincang dengan Pergerakan Wanita Umno negeri, Wanita bahagian serta calon yang bertanding untuk menyelaraskan pemilihan semula itu.

“Dalam surat yang diterima Umno negeri, tiada alasan yang diberikan Ibu Pejabat Umno Pusat berhubung pemilihan semula, tetapi berdasarkan maklumat sahih yang saya peroleh, ada bantahan yang dibuat calon Ketua Wanita bahagian yang tewas iaitu Datuk Hamidah Osman,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Rabu.

Bagaimanapun, katanya, beberapa perkara yang dipertikaikan Hamidah tidak diperjelaskan dan Umno Pusat telah memanggil anggota Jawatankuasa Pemilihan Umno Bahagian Gopeng untuk mendapat pandangan mengenai aduan yang dibuat Hamidah.

Beliau berkata pemilihan semula itu perlu diadakan segera sebelum bermulanya Perhimpunan Agung Umno pada minggu depan bagi membolehkan Wanita Umno bahagian Gopeng menyertainya secara sah.

“Apa pun keputusan yang akan diperoleh pada 30 Nov ini, mereka yang terpilih akan mewakili pergerakan bahagian itu ke Perhimpunan Agung,” kata Mohd Khusairi.

Beliau berkata Umno negeri akan melaksanakan tanggungjawab dan arahan yang diberikan Umno Pusat supaya pemilihan itu dapat diadakan semula dan berjalan lancar.

Surat arahan supaya pemilihan itu diadakan semula dikeluarkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Umno Negeri, katanya.

Ia menyatakan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Umno telah meneliti laporan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Bantahan Umno dengan dipengerusikan Tan Sri Azmi Khalid dan memutuskan supaya pemilihan Jawatankuasa Pergerakan Wanita Bahagian Gopeng diadakan semula.

Beliau berkata di samping itu Umno Negeri dan Jawatankuasa Pemilihan Umno negeri diminta mengendalikan perjalanan pemilihan tersebut.

Pemilihan Jawatankuasa Pergerakan Wanita bahagian Gopeng pada 12 Okt lepas menyaksikan Hamidah yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional gagal mempertahankan jawatan Ketua Wanita bahagian itu.

Juliliyana Mohd Junid yang meraih 163 undi menewaskan Hamidah yang mendapat 143 undi manakala seorang lagi calon Wan Razita Wan Razak hanya memperoleh 20 undi.

UTAMAPOLITIKWanita Umno Bahagian Gopeng Diarah Adakan Semula Pemilihan Jawatankuasa

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium