Waspada kenyataan duta China – Noor Farida - pakdin.my

Datuk Noor Farida Ariffin

Datuk Noor Farida Ariffin menganggap kenyataan Duta Besar China Dr Huang Huikang yang dibuat di Jalan Petaling pada 25 September lalu satu campur tangan terang-terangan dalam hal ehwal negara.

Jurucakap kumpulan tokoh Melayu bekas pegawai tinggi kerajaan atau G25 itu berkata, kenyataan Huang yang beliau hanya ingin melihat keharmonian kaum di Malaysia dikekalkan, perlu dilihat dengan penuh waspada.

“Saya rasa semua orang mahu melihat keharmonian kaum dikekalkan di negara ini, terutamanya rakan dagangan kita seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Eropah dan India.

“Namun anda tidak melihat duta mereka berjalan-jalan di Jalan Petaling atas nama mengekalkan keharmonian kaum. Tindakan duta tersebut mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan,” kataya kepada The Malaysian Insider.

Katanya, pandangan beliau itu berasas susulan tindak-tanduk negara China di kawasan Laut China Selatan yang dianggap meragukan.

“Kita ada sebab untuk risau apabila mengambil kira tindakan China di Laut China Selatan. Mereka guna taktik membuli terhadap negara jiran seperti Filipina dan Vietnam dalam pertelingkahan di sana.

“Tambahan lagi, mereka menduduki dan melakukan kerja penambakan haram di 7 kawasan di Laut China Selatan seawal 2014. Ini mencetuskan ketegangan serantau,” kata Farida.

Katanya, nada yang sama disuarakan menteri-menteri Asean pada mesyuarat ke-48 mereka di Kuala Lumpur Julai tahun ini yang menzahirkan kebimbangan terhadap tindak-tanduk China di situ.

“Penganalisis politik menganggap tindakan China sebagai menunjuk kuat kepada negara Asean yang lebih lemah.

“Berdasarkan senario ini, lawatan duta China ke Jalan Petaling boleh dilihat sebagai campur tangan terang-terangan terhadap hal ehwal dalaman Malaysia dan tidak dapat diterima sama sekali,” katanya.

Huang semalam berkata kenyataan beliau sewaktu melawat Jalan Petaling pada Jumaat lalu diperbesar-besarkan walaupun ia langsung tidak bersifat mencampuri politik Malaysia.

Bercakap kepada media tempatan bahasa Cina, beliau menjelaskan lawatannya ke kawasan yang juga dikenali sebagai Chinatown Kuala Lumpur itu dibuat bagi mengedarkan kuih bulan dan serentak dengan lawatan Presiden China Xi Jinping ke Seattle pada hari sama.

Katanya, beliau berhasrat melihat keharmonian kaum di negara ini kekal bagi meredakan kerisauan pelancong China yang berada di negara ini berkaitan amaran perjalanan di Jalan Alor yang dibuat Kedutaan Amerika Syarikat.

Huang kemudian dipanggil Wisma Putra bagi memberikan penjelasannya berhubung kenyataan tersebut yang menimbulkan rasa kurang senang di kalangan sesetengah ahli politik negara.

Sementara itu, penganalisis dasar luar dan organisasi antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Azizan Idris menganggap tempat dan masa kenyataan duta tersebut sebagai agak “janggal”.

“Sebagai duta, apabila beliau membuat kenyataan berkaitan dengan acara di Jalan Petaling, ia agak janggal. Tetapi saya tak fikir ia akan jadi isu berpanjangan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau meramalkan isu tersebut akan reda tidak lama lagi kerana Wisma Putra mungkin sudah menyampaikan rasa kurang senang mereka dalam pertemuan susulan dengan Huang.

“Saya rasa ia tak akan menjejaskan hubungan China-Malaysia, melainkan jika ada reaksi lain daripada kumpulan Melayu yang berdemonstrasi, benda ini akan berpanjangan,” katanya.

Seorang lagi bekas diplomat Datul Albert S Tallala pula menyokong penuh tindakan Wisma Putra memanggil Huang memberikan penjelasan.

“Mereka (Wisma Putra) akan melakukan yang terbaik dan saya yakin dengan kebolehan mereka,” katanya.

UTAMAPOLITIKWaspada kenyataan duta China - Noor Farida

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium