WHO Dedahkan Daging Yang Diproses Boleh Cetuskan Kanser - pakdin.my

daging-proses-1

LONDON: Daging yang diproses seperti bakon/dendeng, sosej dan daging salai – didapati boleh menyebabkan penyakit kanser, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Laporan yang dikeluarkan oleh WHO menyebut, pengambilan 50g daging yang diproses sehari – iaitu bersamaan dengan kurang lebih dua keping bakon – boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mengidap penyakit kanser sebanyak 18%.

Sementara itu, laporan WHO juga menyebut, daging merah juga mempunyai “kecenderungan untuk menyebabkan kanser” tetapi masih belum ada bukti saintifik yang kukuh buat masa ini.

Bagaimanapun WHO turut melaporkan di samping itu semua, daging juga memiliki faedah-faedah lain untuk kesihatan.

Daging yang diproses adalah daging yang telah menjalani proses modifikasi untuk meningkatkan jangka hayat simpanannya atau untuk tujuan mengubah rasanya – dengan cara mengasapkan, mengawet dengan menambah garam atau pun ditambah dengan bahan pengawetan.

daging-proses-2

Penambahan-penambahan inilah yang meningkatkan risiko kanser.

Pada masa yang sama kajian WHO turut mendapati, memasak daging pada suhu yang tinggi seperti barbeku juga boleh mencetuskan ransangan kimia yang mencetuskan agen kanser.

WHO merumuskan atas nasihat Agensi Antarabangsa Untuk Kajian Kanser mengkategorikan daging yang diproses sama kategori dengan plutonium dan alkohol iaitu dua elemen yang disahkan sebagai boleh mencetuskan agen kanser.

Namun WHO mendapati, ini bukanlah satu indikasi berapa banyak kesan kanser yang boleh dicetuskan menerusi pembikinan daging yang diproses itu.

Bermakna, memakan sandwich bakon tidak boleh disamakan dengan risiko kesan merokok, misalnya.

“Untuk mana-mana individu, risiko untuk terkena kanser usus misalnya kerana mengambil daging yang diproses buat masa ini adalah kecil, tetapi risiko ini bertambah dengan jumlah daging proses yang dimakan,” kata Dr Kurt Straif dari WHO.

Anggaran setakat ini adalah, 34,000 kematian daripada penyakit kanser setiap tahun boleh dikaitkan dengan diet yang tinggi dalam pengambilan daging yang diproses.

Jumlah ini sangat jauh jika dibandingkan dengan satu juta manusia yang mati kerana kanser yang diakibatkan oleh amalan merokok dan 600,000 kematian akibat kanser yang disumbangkan daripada pengambilan alkohol yang tinggi.

Pada masa yang sama WHO melaporkan daging merah juga adalah penyumbang utama kepada zat besi, zink dan vitamin B12 kepada manusia.

Buat masa ini, tiada bukti yang nyata pengambilan 100g daging merah sehari misalnya akan meningkatkan risiko mengidap kanser.

WHO menegaskan, penemuan mereka sangat penting untuk membantu setiap negara merancang diet pemakanan yang seimbang dan selamat untuk warganegara mereka.

Prof Tim Key, dari Pusat Kajian Kanser United Kingdom dan juga Universiti Oxford berkata, penemuan ini tidak bermakna setiap orang harus berhenti mengambil daging sebagai diet utama mereka.

“Tetapi jika anda mendapati selama ini anda mengambil atau makan daging proses yang agak tinggi mungkin anda mahu menimbang untuk mengurangkannya,” ujar beliau sambil menambah “Makan bakon sekali sekala tidak akan menjejaskan kesihatan anda tetapi yang lebih penting ialah pengambilan diet yang seimbang.”

UTAMAWHO Dedahkan Daging Yang Diproses Boleh Cetuskan Kanser

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium