WHO sedang kaji jika virus Wuhan boleh tular sebelum simptom dikesan

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa pihaknya masih belum jelas jika virus Wuhan yang menular di China dan negara-negara lain boleh dijangkiti semasa tempoh pengeraman virus sekalipun simptom-simptom jangkitan belum dikesan.

Virus yang boleh menyebabkan keradangan pernafasan yang teruk seperti radang paru-paru sudah meragut nyawa lebih 100 orang dalam masa beberapa minggu dan ia menjangkiti kira-kira 4,000 orang di China, manakala kes virus itu juga sudah dikenal pasti di 12 negara.

Dalam satu laporan terkini mengenai virus baru itu, yang dikenali sebagai 2019nCoV, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan tempoh pengeraman untuk virus itu adalah antara dua hingga 10 hari.

“Memahami tempoh pesakit setelah dijangkiti virus itu dan kemudian berjangkit ke orang lain adalah penting dalam usaha untuk mengawalnya,” menurut WHO.

WHO bagaimanapun tidak pula mengesahkan kenyataan pihak berkuasa China yang mendakwa bahawa orang yang dijangkiti virus itu boleh menyebarkan virus tersebut sebelum mereka menunjukkan tanda-tanda demam atau mengalami masalah pernafasan.

Maklumat epidemiologi yang terperinci dari lebih banyak orang yang dijangkiti diperlukan untuk menentukan tempoh berjangkit 2019nCoV, khususnya sama ada jangkitan boleh berlaku melalui individu yang tidak dijangkiti virus tersebut atau semasa tempoh pengeraman,” menurutnya.

Minggu lalu, WHO tidak mengisytiharkan wabak virus Wuhan sebagai satu kecemasan kesihatan awam antarabangsa – satu perisytiharan yang jarang digunakan, hanya untuk wabak paling mudarat yang akan mencetuskan lebih banyak tindakan global yang bersepadu.

Bagaimanapun badan dunia itu mengakui pada Isnin (27 Jan), bahawa pihaknya membuat kesilapan dalam penilaian risiko virus berbahaya dalam beberapa laporannya pada minggu lalu, termasuk mengakui risiko global adalah “tinggi” dan bukan “sederhana”.

Virus itu sudah menyebabkan kebimbangan seantero dunia kerana persamaannya dengan Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS), yang meragut beratus-ratus nyawa di tanah besar China dan Hong Kong pada tahun 2002-2003.

Virus baru itu dipercayai boleh berjangkit dari haiwan ke manusia di pasar Wuhan. Bagaimanapun kaedah jangkitannya masih belum dapat dipastikan.

Seperti SARS dan satu lagi virus korona yang membawa maut, dikenali sebagai Sindrom Pernafasan Timur-Tengah, atau MERS, WHO turut menggambarkan virus baru itu mungkin boleh dijangkiti melalui titisan, contohnya ketika orang bersin atau batuk, atau bersentuhan dengan orang yang dijangkiti atau melalui objek yang disentuh.

Untuk mengurangkan risiko jangkitan, WHO menegaskan pentingnya untuk mengelakkan sentuhan dengan orang yang mengalami jangkitan pernafasan akut, kerap mencuci tangan, dan mengelakkan sentuhan dengan haiwan ternakan atau haiwan liar.

Agensi tersebut juga menekankan pentingnya mengamalkan etika yang baik termasuk mengekalkan jarak dan menutup mulut dengan tisu apabila batuk dan bersin.

– AFP/NA/na