Zaman kejatuhan komoditi sawit? - pakdin.my

minyak-sawit-felda

Industri komoditi sawit kini berdepan dengan situasi yang sukar terutamanya kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM) serta minyak mentah dunia sejak pertengahan tahun lalu dan sehingga kini masih belum menampakkan tanda-tanda pemulihan.

Pada penghujung tahun 2014, pemain-pemain industri juga terkesan dengan bencana banjir terburuk dalam sejarah. Walaupun lebih lima bulan berlalu, kesannya masih berterusan kepada operasi perladangan antaranya adalah jumlah pengeluaran jatuh dan kadar gred perahan merudum.

Dalam tempoh lima bulan pertama, purata harga MSM hanya sekitar RM2,000 hingga RM2,200 setan, jauh berbeza dengan jangkaan awal harga komoditi berkenaan akan bangkit ke paras RM2,500 setan pada pertengahan tahun.

Biasanya, pengeluaran buah sawit akan meningkat pada suku kedua dan ketiga setiap tahun, namun pada tahun ini mungkin jumlah berkenaan akan terjejas.

Penganalisis industri melihat, separuh pertama 2015 merupakan cabaran paling getir kepada pemain-pemain industri kerana masih dalam proses pemulihan akibat bencana tersebut dan dalam masa yang sama kejatuhan harga MSM telah mengecilkan margin operasi.

Kesannya dapat dilihat semasa pemain-pemain industri mengumumkan keputusan kewangan masing-masing pada Februari lalu dengan hampir keseluruhan mencatatkan kejatuhan dalam perolehan dan keuntungan yang ketara.

Sime Darby Bhd., misalnya mencatatkan penurunan keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai (PAT) masing-masing sebanyak 38 peratus dan 47 peratus manakala keuntungan bersih KLK Kepong jatuh 26.8 peratus.

Pengeluar MSM terbesar dunia, Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), merupakan syarikat paling terkesan dengan situasi semasa industri kerana 75 peratus daripada perolehan disumbangkan oleh perladangan, jauh lebih besar berbanding pemain industri lain.FGV mencatatkan penurunan keuntungan sebanyak 96 peratus bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2014.

Syarikat yang disenaraikan di Singapura, Golden Agri-Resources telah mencatatkan kejatuhan keuntungan sebanyak 87 peratus bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2015, manakala perolehan susut 19 peratus.

Rata-rata pemain industri menjangkakan persekitaran perniagaan yang mencabar untuk permulaan tahun 2015 disebabkan harga MSM yang rendah, peningkatan kos operasi dan permintaan lemah dari China dan India.

Penganalisis industri menjangkakan, keputusan kewangan pemain-pemain industri ini bagi tempoh tiga bulan pertama 2015 yang akan diumumkan sebelum akhir bulan ini bakal mencatatkan penurunan perolehan dan juga keuntungan yang drastik.

Kejatuhan minyak mentah dunia secara langsung menyebabkan permintaan terhadap biodiesel dan pertumbuhan ekonomi dunia lemah. Ini menyumbang kepada lambakan stok MSM di pasaran sekali gus memberi kesan kepada harga.

Kerajaan perlu memainkan peranan dalam mengurangkan impak kejatuhan harga MSM ini dengan mengambil pendekatan mengembangkan industri biodiesel negara seperti yang telah dilakukan oleh Indonesia dan Thailand pada awal tahun ini.

Thailand pada tahun ini telah meningkatkan penggunaan biodiesel daripada B5 kepada B7 dan bakal ditingkatkan kepada B10 pada 2019 berdasarkan Pelan Pembangunan Tenaga Alternatif 2012-2021.

Indonesia juga sedang rancak meningkatkan penggunaan biodiesel dengan merancang meningkatkan mandat daripada B10 tahun ini kepada B15 dan seterusnya ditingkatkan kepada B20 secara berperingkat.

Langkah ini diambil bagi meningkatkan permintaan dalam industri sawit bagi mengurangkan lambakan stok di pasaran.

Malaysia dilihat masih perlahan dalam mengembangkan industri tenaga boleh diperbaharui seperti biodiesel berbanding negara jiran. Malaysia dan Indonesia merupakan negara pengeluar

MSM terbesar dunia dan setiap keputusan yang diambil kedua-dua negara pasti memberi impak kepada industri.

Kerajaan perlu melindungi industri sawit kerana ia memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Selain itu, kemampanan industri ini juga menjadi nadi kepada kehidupan lebih 100,000 orang peneroka yang menerima manfaat daripada Felda dan FGV.

UTAMAEKONOMIZaman kejatuhan komoditi sawit?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium