Zaman Khan Buat Laporan Polis Terhadap P. Ramasamy Didakwa Menghasut - pakdin.my

zaman-khan-lapor-polis-ramasamy

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Mohamed Zaman Khan Rahim Khan membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P.Ramasamy atas kenyataannya yang berbaur hasutan.

Selepas membuat laporan itu di Balai Polis Jalan Tun Razak di sini pada 1 petang tadi, beliau memberitahu pemberita bahawa kenyataan Ramasamy itu bersifat hasutan dan boleh mencetuskan huru-hara dalam kalangan rakyat pelbagai agama dan bangsa di negara ini.

“Kenyataan Ramasamy ini dilihat sebagai satu tindakan subversif yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara dan tidak patut dinyatakan oleh seorang wakil rakyat.

“Justeru itu, saya membuat laporan ini sebagai warganegara yang perihatin supaya polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Akta Hasutan 1948 terhadap beliau,” katanya.

Ramasamy dipetik sebuah portal berita pada Isnin lepas sebagai berkata beliau tidak gentar sekiranya peristiwa 13 Mei berulang semula.

Beliau dilaporkan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang memberi amaran bahawa peristiwa rusuhan kaum mungkin berulang sekiranya perpecahan antara kaum tidak dibendung.

Zaman Khan bagaimanapun berpendapat kenyataan Muhyiddin itu sama sekali tidak bermaksud menimbulkan huru-hara sebaliknya sebagai peringatan kepada semua rakyat agar terus kekal bersatu dan mempertahan keharmonian negara.

Menurutnya semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutama yang membabitkan isu sensitif seperti perkauman dan agama bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Di KEPALA BATAS, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap Ramasamy kerana mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam Pulau Pinang (Pembela) Mohd Hafiz Nordin berkata Ramasamy yang dipetik sebagai berkata beliau tidak takut peristiwa 13 Mei 1969 berulang dilihat seolah-olah mencabar undang-undang negara.

“Kami bimbang jika kenyataan Ramasamy itu dibiarkan tanpa sebarang tindakan, lebih ramai yang akan keluarkan kenyataan sepertinya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini, hari ini.

Beliau turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Peguam Negara supaya tegas memantau dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan polis berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan.

UTAMAZaman Khan Buat Laporan Polis Terhadap P. Ramasamy Didakwa Menghasut

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium