Zizan, Emma hanya kawan - pakdin.my

Artis komedi nafi sembunyi status hubungan bimbang populariti merudum

zizan-ema

Tiada niat untuk dia menyembunyikan kisah cintanya jika apa yang digembar-gemburkan selama ini adalah kisah benar. Bagaimanapun, disebabkan hubungan yang terjalin itu hanyalah kawan biasa, jadi tiada sebab untuk pengacara, pelakon dan pelawak, Razizan Razak atau Zizan, mengakui dirinya dan pelakon remaja yang semakin mencipta nama, Emma Maembong, sedang asyik menyulam benang cinta.

Meskipun tindak-tanduk masing-masing dan cara berkomunikasi di laman sosial memperlihatkan seperti ada sesuatu antara mereka, tegas Zizan, hubungan antara dirinya dengan Emma hanya sekadar rakan artis.

Saya tidak perlu menipu sesiapa jika perkara yang dinyatakan itu benar. Saya percaya kepada rezeki. Kalau ditakdirkan saya bercinta pun, saya percaya rezeki saya tetap ada” Zizan Razak, Pelawak/Pelakon

“Jika benar kami bercinta, tiada sebab untuk saya menyembunyikannya. Hakikatnya tidak. Tindakan saya tag (melabel atau melekatkan) nama Emma di dalam Instagram saya adalah kerana dia begitu meminati Menara Eiffel. Jadi saya sekadar mahu berkongsi gambar dengannya, itu saja.

“Bagi saya, perkara ini sengaja digembar-gemburkan. Sebelum ini pun saya ada tag nama artis lain dalam akaun Instagram saya, tetapi kenapa perkara itu tidak dijadikan isu?” Soal Zizan ketika ditemui pada sesi rakaman Kecoh Pengacara Beraya yang diadakan di Sri Pentas 2, Shah Alam, malam kelmarin.

Fokus kerja

Ragu dengan kenyataan dianggap selamat itu, Zizan terus ditanya adakah kerana bimbang popularitinya merudum membuatkan dia terpaksa merahsiakan hubungan terbabit, Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2012 ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.
“Saya tidak perlu menipu sesiapa jika perkara yang dinyatakan itu benar. Saya percaya pada rezeki. Kalau ditakdirkan saya bercinta pun, saya percaya rezeki saya tetap ada. Lihat saja Aaron Aziz dan Awal Ashaari, rezeki mereka tetap mencurah walaupun sudah mendirikan rumah tangga,” ujarnya yang baru saja pulang dari Paris minggu lalu atas urusan kerja.

Pada pertanyaan apakah yang akan dilakukan jika penafian yang dibuat ini bakal memakan dirinya sendiri, andai hubungan itu benar-benar terjadi, jejaka berusia 29 tahun ini menegaskan, tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

“Jika ia benar-benar berlaku, saya anggap ia sebagai jodoh.

“Apabila bercinta, fokus saya selalunya terbahagi dua. Saya seorang yang mengutamakan perhubungan, lebih daripada segala-galanya. Saya akan jaga kekasih saya itu dengan baik. Melihat kepada situasi saya ketika ini, nampaknya fokus saya lebih kepada kerjaya,” kata Zizan.

Mengaku ada masalah disiplin

Sementara itu, cerita mengenai dirinya yang semakin bermasalah dari segi disiplin bukan perkara baru. Nampaknya cerita yang sama berulang kembali baru-baru ini.

Khabarnya, banyak produksi mula memperkatakan perihal itu dan menganggap Zizan perlu mengubah sikapnya jika mahu bertahan lama dalam industri.

Tanpa berselindung, Zizan mengakui dia memang berdepan masalah disiplin.

“Tidak dinafikan, memang saya ada datang lewat ke lokasi. Bukan saya saja artis yang berbuat begitu.

“Bagaimanapun, saya minta maaf kepada mana-mana pihak yang terasa dengan tindakan saya itu,” mohon Zizan merendah diri.

Sempena kedatangan Ramadan, Zizan berkata, jadualnya tetap sibuk seperti biasa kerana terbabit dengan beberapa program Aidilfitri.

“Cuma saya berehat daripada penggambaran filem, yang mana filem terakhir saya ialah Abang Long Fadil. Saya juga hanya bercuti tiga hari pada Aidilfitri nanti sebab banyak kerja yang menanti,” katanya.

UTAMAGAYA HIDUPZizan, Emma hanya kawan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium