Monday - July 26, 2021 @ 00:54
BERITAZon Sifar Gelandangan dikuatkuasa lepas Aidilfitri

Zon Sifar Gelandangan dikuatkuasa lepas Aidilfitri

Pengemis warga asing semakin ramai
Pengemis warga asing semakin ramai

Penguatkuasaan peraturan pemberian bantuan makanan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) kepada golongan gelandangan dan miskin perlu dilakukan dalam jarak dua kilometer radius dari pusat bandaraya hanya akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Ikhsan selepas mengadakan pertemuan bersama NGO yang terlibat di Putrajaya, Selasa.

Mesyuarat tersebut yang dihadiri oleh 12 NGO diadakan bagi membincangkan perkara tersebut, terutama melibatkan penguatkuasaan larangan bagi golongan gelandangan dan miskin yang dahulunya disebut juga “kutu rayau” daripada berada di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

“Secara peribadi mesyuarat berlangsung begitu baik sekali, kita berukar pandangan dan NGO mengemukakan isu yang mereka hadapi.

“Kesimpulannya, pertama dari segi pengutakuasaan kawasan 2 kilometer itu akan dikuatkuasanan selepas Hari Raya,” kata Adnan pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Kementerian bagaimanapun tidak menguatkuasakan larangan itu ke atas mana-mana NGO yang mempunyai premis sendiri di tengah bandaraya yang berkonsepkan seperti Anjung Singgah.

“Ada juga NGO yang ada premis sendiri ada dapur dan masak seperti Anjung yang ini boleh teruskan tetapi jaminan kebersihan tempat sahaja.

“Mereka yang membekalkan makanan secara runcit sahajalah…Isunya bila kita nak agihkan makanan merata-merata ini yang jadi masalah,” tegas beliau.

Adnan menjelaskan bahawa tindakan yang diambil kementerian adalah bertujuan untuk menjaga kebersihan bandaraya Kuala Lumpur agar dapat dinikmati semua pihak.

Sehubungan itu, kementerian juga bercadang mengadakan satu bengkel bagi membincangkan soal pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang baru tersebut, kata Adnan.

“Kementerian akan mengadakan satu bengkel untuk membincangkan pelaksanaan penguatkuasaan tersebut yang terdiri daripada kementerian DBKL dan NGO.

“Matlamat kita pada akhirnya kita mahu selesaikan masalah rakyat,” jelasnya.

Rabu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pendekatan strategik bagi menangani masalah gelandangan di ibu negara iaitu Pelaksanaan Zon Sifar Gelandangan.

Zon itu adalah kawasan sekeliling 2KM radius bermula daripada Simpang Empat Lot 10, di Bukit Bintang.

Pemilihan kawasan berkenaan sebagai Zon Sifar Gelandangan adalah berasaskan faktor ia merupakan pusat tumpuan pelancong, kawasan perniagaan dan berada di tengah pusat Bandaraya Kuala Lumpur.


KENYATAAN MEDIA OLEH YB MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN

“NGO BERSETUJU UNTUK BEKERJASAMA MENANGANI MASALAH GELANDANGAN DAN PENGEMIS DI KUALA LUMPUR”

Satu mesyuarat telah diadakan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dengan semua NGO yang terlibat dengan aktiviti ‘Soup Kitchen’ pada hari ini. Mesyuarat telah membincangkan isu-isu berkaitan golongan gelandangan dan pengemis di Kuala Lumpur. Sebanyak 12 NGO yang melaksanakan aktiviti ‘Soup Kitchen’ termasuk NGO-NGO yang berminat untuk membantu kementerian dalam isu ini telah menghadiri mesyuarat tersebut. Mesyuarat telah memutuskan bahawa:

Supaya kerajaan membanteras habis-habisan aktiviti sindiket yang menggunakan pengemis untuk meminta sedekah di kawasan ibukota.

Mengenai isu gelandangan, semua NGO yang menghadiri mesyuarat tersebut bersetuju untuk membantu dan akan bekerjasama dengan Kementerian dan agensi-agensi kerajaan dalam menangani isu gelandangan dan pengemis.

Memperbetulkan persepsi bahawa kerajaan tidak membenarkan langsung NGO-NGO memberi makanan kepada golongan gelandangan. NGO-NGO tersebut masih boleh meneruskan agihan makanan kepada golongan gelandangan cuma tidak dibenarkan dalam kawasan 2 km radius di ibu kota. Bagi yang mempunyai premis yang sesuai seperti di rumah-rumah ibadat dan di dalam bangunan sendiri, adalah dibenarkan walaupun dalam lingkungan 2 km radius. NGO-NGO ini disarankan beroperasi seperti konsep Anjung Singgah.

Bersetuju dengan cadangan permohonan NGO-NGO terlibat untuk melanjutkan tempoh memberi makan kepada golongan gelandangan di dalam kawasan ibukota selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri. Dalam hal ini kementerian menetapkan tarikh penguatkuasaan baru adalah pada 16 Ogos 2014.

Satu sesi town hall bersama golongan gelandangan dan pengemis akan diadakan dalam waktu terdekat untuk mendengar keluhan mereka dan membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Bekerjasama rapat dengan semua NGO-NGO yang terlibat dan menjadikan mereka sebagai program partners bagi membantu golongan gelandangan.

Mengenalpasti beberapa premis sedia ada yang digunakan oleh NGO-NGO terlibat untuk dijadikan sebagai premis angkat yang berkonsepkan ‘Anjung Singgah’ kepada golongan gelandangan.

Bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas melibatkan agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO berkaitan untuk memperincikan proses pengedaran makanan kepada golongan gelandangan dan mencari jalan terbaik bagi membantu golongan tersebut.

Mesyuarat yang diadakan pada hari ini telah mencapai satu kata sepakat antara kementerian, agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO terlibat untuk bersama-sama merangka strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi menyelesaikan isu gelandangan dan pengemis di Kuala Lumpur yang telah berlanjutan sekian lama.

Sekian, terima kasih.

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Menteri Wilayah Persekutuan
8 Julai 2014

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here