MELAKA – Seorang wanita dicekup polis selepas dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah masuk stesen minyak secara solo di sekitar daerah ini sejak bulan lalu.
Suspek berusia 48 tahun itu dicekup kira-kira pukul 10 malam di sebuah rumah di kawasan Taman Peringgit Ria, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, hasil soal siasat dilakukan, suspek yang masih bujang mengakui melakukan pecah masuk lima stesen minyak sejak bulan lalu.
Katanya, kegiatan itu dilakukan suspek seorang diri pada waktu antara pukul 3 pagi hingga 7 pagi dengan mengenakan sweater berhud.
“Suspek menyasarkan untuk pecah masuk stesen minyak bangunan lama dan mencuri wang tunai yang disimpankan di bahagian pejabat.
“Wanita terbabit mengakui aktif melakukan pecah masuk sejak pertengahan bulan lalu melibatkan lima buah stesen minyak dengan kos kerugian sebanyak RM5,000,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, dalam tangkapan itu polis turut merampas sebuah motosikal, topi keledar dan pemutar skru dipercayai digunakan suspek bagi melakukan jenayah tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek dipercayai melakukan kegiatan tersebut bagi mencari sumber untuk membeli dadah.
“Saringan ujian air kencing ke atas suspek turut didapati positif dadah.
“Suspek kini direman selama enam hari sehingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan,”katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929