Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkan kesiapsiagaan serta meningkatkan kawalan dan pemantauan keselamatan di seluruh negara berikutan serangan bom di Jakarta, Indonesia, pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata PDRM sememangnya sudah menempatkan pegawai dan anggota di kawasan yang dirasakan berisiko sejak beberapa insiden letupan yang berlaku sebelum ini namun ia ditingkatkan lagi susulan kejadian di negara jiran itu.
“Tumpuan kawalan kita adalah lokasi yang menjadi tumpuan ramai seperti pusat beli-belah dan kawasan pelancongan.
“Malah, penguatkuasaan di kawasan pintu masuk dan keluar sempadan juga ditingkatkan sebagai satu usaha mengekang sebarang cubaan serangan dan jenayah lain,” katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.