KUALA LUMPUR: Syarikat Home Of Champions (HOC) mendakwa Amy, Nasir Daud dan waris Allahyarham Yazit Ahmad tidak berhak membuat tuntutan ke atas penggunaan jenama kumpulan itu berikutan nama Search tidak berdaftar di bawah tanda dagang atau ‘trademark’.
Peguam Encik Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar dari Tetuan Sharif Ridzuan & Co yang mewakili HOC mendakwa, tiada anggota Search berhak memiliki kugiran itu sepenuhnya berikutan nama Search tidak berdaftar di bawah tanda dagang, lapor BH Online.
Malah, Encik Syed Azimal Amir mendakwa, Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman tidak berhak membuat tuntutan kerana sudah meninggalkan kugiran itu secara rasmi pada Mac tahun lalu.
“Kalau kita lihat dari sudut perundangan, individu yang sudah keluar dari apa-apa persatuan atau kumpulan, secara rasmi tidak lagi terbabit dengan pertubuhan itu.
“Secara dasar boleh dikatakan, apabila dia (Amy) membuat keputusan untuk keluar dari Search, maka dia tidak perlu lagi membabitkan diri dengan kegiatan kumpulan berkenaan pada masa akan datang.
“Jadi, tiada gunanya dia (Amy) membuat pengumuman mengenai pengundurannya.
“Daripada segi perundangan, apabila seseorang itu menyatakan dia mahu keluar, apa yang berlaku kepada kumpulan yang disertai selepas itu, dia tidak harus membabitkan diri,” katanya pada sidang media maya pada Jumaat (29 Mei).
Bagaimanapun, Encik Syed Azimal Amir mendakwa, dalam soal karya lagu, setiap anggota Search layak menerima royalti, menurut BH Online lagi.
“Isu sekarang membabitkan dua perkara iaitu penjualan aksesori seperti pakaian dan kasut yang menggunakan nama Search.
“Soalnya apakah Search sudah mendaftar (tanda dagang) atau tidak? Itu yang menjadi isu… Jika sudah didaftarkan, siapa pemiliknya?
“Isu kedua adalah soal pembayaran royalti. Jika anak guam saya sedia untuk membayar royalti (atas penjualan produk dan aksesori) kepada anggota yang tidak lagi bersama Search, ia adalah atas dasar semangat setiakawan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus HOC, Encik Mozylir Mokhtaruddin berkata, pihaknya enggan menghentikan penjualan pakaian dan aksesori jenama Search melalui platform media sosial seperti FaceBook, Instagram (IG) dan laman web www.fenomena search.com.
“Sebelum mengeluarkan produk dan aksesori menggunakan jenama Search, HOC mendapatkan persetujuan dan kebenaran daripada Nasir, Noordin Mohd Taib (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid).
“Semua dokumen berkaitan sudah ditandatangani Din yang bersetuju untuk pengeluaran produk, reka bentuk, kuantiti dan agihan bayaran royalti kepada setiap individu yang berkaitan dengan Search.
“Semua dokumen berkaitan diserahkan kepada peguam untuk proses dokumentasi sebelum ini.
“Jadi dakwaan HOC tidak mendapat kebenaran Search terutama Amy dan Nasir adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Bagaimanapun, Encik Mozylir mengaku tidak dapat menghubungi Amy kerana penyanyi itu tidak menjawab mesej dihantar melalui aplikasi WhatsApp atau menjawab panggilan telefon, lapor BH Online.
“Disebabkan Amy tidak memberi maklum balas, jadi tugas itu diserahkan kepada Nasir untuk memberitahunya mengenai perancangan HOC bersama Din dan Kid, biarpun Amy tidak lagi bersama Search.
“Kami mewakilkan Nasir untuk menyampaikan perkara itu kepada waris Allahyarham Yazit. Namun, sekali lagi, maklumat itu tidak disampaikan.
“Kenyataan yang dibuat Nasir konon tidak tahu mengenai projek ini tidak benar. Beliau lebih tahu mengenai pembabitan HOC sejak tahun lalu selepas kami bekerjasama dalam Konsert Apologia,” dakwanya.
Encik Mozylir mendakwa Nasir pernah membantu menjual pakaian jenama Search dan semua rekod pengambilan baju, dan rekod WhatsApp masih disimpan.
Ditanya apakah HOC sudah menerima surat tuntutan daripada Amy dan Nasir, Encik Mozylir berkata, surat berkenaan diterima pada Selasa lalu.
Namun, dakwa Encik Mozylir, dia tidak dapat memenuhi permintaan Amy dan Nasir yang mahu penjualan barangan dan aksesori dihentikan kerana sudah mengeluarkan modal yang besar termasuk mengupah pekerja.
Sementara itu, Din mengaku sejak dahulu lagi Search sering ditimpa kemelut, namun, kes ini dianggap terburuk.
“Niat saya adalah untuk mendapatkan hak untuk semua anggota Search. Tetapi tidak sangka, sampai ke penghujung jalan, dia membuat pusingan.
“Kami sudah meminta Nasir menyampaikan hasrat hati kepada Amy. Tetapi tidak tahulah, dia sampaikan atau tidak.
“Sejak 20 tahun kebelakangan ini, banyak perkara tidak seronok berlaku dalam band kami,” katanya lagi.
- Agensi berita/NA/na