LAHAD DATU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mati dipercayai ditikam bekas teman wanitanya di sebuah hotel di sini.
Dalam kejadian itu jam 3 pagi semalam, suspek yang juga berumur 17 tahun dipercayai berselisih faham dengan mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman, berkata siasatan awal mendapati susulan pergaduhan itu suspek kemudian dipercayai menikam perut mangsa dengan pisau.
Bagaimanapun, katanya, suspek kemudian menghantar mayat mangsa ke Hospital Lahad Datu hampir 24 jam selepas kejadian.
“Pada jam 2 pagi tadi, satu mayat lelaki dihantar ke Hospital Lahad Datu dan hasil siasatan, polis menahan remaja perempuan berumur 17 tahun.
“Suspek adalah teman wanita mangsa dan dia juga yang menghantar mayat mangsa ke hospital.
“Siasatan lanjut berjaya membongkar kejadian antara suspek dan mangsa kira-kira jam 3 pagi pada 13 Januari. Polis turut menemui pisau yang digunakan untuk menikam mangsa,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.