KOTA BHARU: Remaja perempuan yang hilang di pasar raya di Kubang Kerian, ditemui selamat di Melor, di sini, 9 malam tadi.
Mangsa, Ayuni Idora Deraman, 13, ditemui oleh penduduk kampung di Melor sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa.
Difahamkan, suspek yang melarikan mangsa meninggalkan remaja berkenaan di lokasi itu selepas kisah kehilangan itu menjadi viral di laman sosial.
Ibu saudara mangsa, Norizan Yusof, 50,memaklumkan anak saudaranya ditemui selamat.
“Ayuni Idora dan ibu bapanya kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk diambil keterangan.
“Alhamdulillah anak saudara saya ditemui selamat. Ayuni Idora masih trauma dan hanya memaklumkan mata dia ditutup sepanjang dilarikan.
“Malah ketika ditemui, pakaian Ayuni Idora sedikit terkoyak dan tangan anak saudara saya turut cedera,” katanya.
Dalam kejadian 12 tengah hari tadi, mangsa hilang ketika berada di tingkat bawah di pasar raya manakala ahli keluarga lain berada di tingkat satu.
Kehilangan remaja berkenaan hanya diketahui selepas ibu mangsa mendapat pesanan menerusi WhatsApp meminta wang tebusan RM5,000.