Covid-19: Masa sesuai kaji semula dasar pelaburan negara - pakdin.my

Ini merupakan masa yang sesuai untuk Malaysia membuat pertimbangan yang mendalam berhubung insentif dan proses pelaburannya yang akan menjadikan negara ini menonjol daripada yang lain, berikutan pembukaan semula ekonomi di seluruh dunia selepas kehilangan trilion dolar akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, yang lebih penting, wujud keperluan untuk mengkaji semula dan menambah baik insentif sedia ada dalam persekitaran landskap pelaburan yang berubah untuk menarik pelabur asing dan tempatan melabur di negara ini, kata seorang ahli ekonomi.

“Sebarang langkah untuk mempermudah dan menjadikan proses pelaburan yang lebih mesra pelabur amat dialu-alukan. Usaha sedemikian perlu terus dipertingkatkan, dengan atau tanpa Covid-19,” kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14, di sini, semalam.

Seri Paduka bertitah proses kelulusan pelaburan terutamanya projek berimpak tinggi hendaklah ditambah baik agar lebih cekap dan pantas, bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke dalam negara.

“Menyedari pentingnya suntikan pelaburan bagi merancakkan ekonomi negara, kerajaan beta akan terus mempermudahkan urusan perniagaan bagi meningkatkan aktiviti pelaburan.

“Hal ini termasuk keperluan mengemas kini undang-undang, proses kelulusan dan insentif sedia ada,” titah Seri Paduka.

Mengulas perkara ini, Mohd Afzanizam berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah menjalankan kajian dan mendapati terdapat lebih 100 insentif yang ditadbir oleh 33 agensi.

“Mungkin kerajaan perlu meneliti perkara ini untuk memastikan proses pelaburan berjalan lancar, cekap dan menjimatkan kos kepada pelabur sedia ada dan yang berpotensi.”

Menurut bank pusat, Malaysia menawarkan lebih 100 jenis insentif yang berbeza untuk mempromosikan pelaburan dalam ekonomi. Ini diagihkan dalam tiga bentuk utama: Status Perintis, Elaun Cukai Pelaburan dan Elaun Pelaburan Semula.

Bank pusat berkata kerajaan perlu memikirkan semula mengenai rangka kerja insentif pelaburan dalam persekitaran global yang amat dinamik dan wujudnya trend global seperti gangguan teknologi, perbandaran yang pesat, dan persekitaran yang diperlukan dalam menyediakan ekonomi untuk masa depan.

Ini terutamanya, pelaburan yang akan datang perlu menunjukkan ciri-ciri antaranya mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, hubungan kukuh dalam rantaian bekalan domestik, dan mewujudkan kluster perindustrian baharu.

Limpahan positif ini perlu dipantau dengan menyeluruh dan dilaporkan pada masa yang sesuai.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata negara juga perlu menyedari keperluan kepada aktiviti dengan nilai tambah yang tinggi yang lebih bergantung kepada teknologi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi terutamanya daripada penduduk tempatan.

“Kami mendapati bahagian jentera dan peralatan kepada jumlah pelaburan merosot daripada 43 peratus pada 2010 kepada 33 peratus pada 2019.

“Pada masa sama, buruh asing meningkat. Ini memberi tanggapan bahawa tahap aktiviti dengan nilai tambah yang tinggi masih berkurangan.”

Sementara itu, Pengerusi Asli Centre for Public Policy Tan Sri Ramon Navaratnam berkata ketidakstabilan ekonomi semasa memberi peluang kepada Malaysia untuk merangka dasar baharu yang menjadikan negara ekonomi terbuka jauh lebih kompetitif daripada negara lain.

“Dengan kata lain, dasar perlindungan, jika ada, perlu dimansuhkan atau dihentikan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan tidak menggalakkan aliran keluar pelaburan. Kerajaan perlu menyemak semula semua peraturan lama yang mengekang pelaburan tempatan dan asing,” katanya. ― Bernama

UTAMAEKONOMICovid-19: Masa sesuai kaji semula dasar pelaburan negara

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium