TEMUBUAL EKSKLUSIF BERSAMA SETIAUSAHA AGUNG BN
Satu kepercayaan yang cukup besar diberikan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional kepada saya selaku Setiausaha Agung Barisan Nasional yang baharu ujar Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir .
Katanya di dalam beliau melakukan tugasan ketika ini, beliau memerlukan kesemua pihak untuk bersama-sama bagi menjayakan matlamat Barisan Nasional dan paling mustahak bahawa kita harus menggerakkan urusan pentadbiran, tangani urusan politik yang sedang kita hadapi ketika ini dan pastikan BN terus relevan dan dominan katanya ketika ditemui krew Bnnewsonline hari ini.
Berikut adalah temubual kami bersama Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.
BARISAN NASIONAL DAN MASA DEPAN
Sebagai Setiausaha Agung yang baharu, perlulah saya melihat kedudukan struktur pentadbiran yang ada pada hari ini, sejauh mana ianya benar-benar efektif dan Jentera Barisan Nasional ( BN) dapat bergerak dapat bergerak di semua peringkat tidak kira di peringkat pusat, negeri mahupun di peringkat parlimen-parlimen kita.
Kita juga melihat tahap Kordinasi di antara semua peringkat dan juga mencari dan mengamalkan pendekatan-pendekatan baharu iaitu bagaimana kita mahu mengaktifkan lagi gerak kerja BN.
Kita juga melihat cabaran-cabaran baharu yang berada di hadapan kita di mana ianya juga memerlukan langkah dan jawapan-jawapan baharu kepada suasana dan senario yang ada pada masa kini.
Dan sebagai Setiausaha Agung, saya juga perlu membantu pimpinan-pimpinan BN, dalam memberikan jawapan-jawapan yang diperlukan ketika kita berhadapan dengan suasana -suasana politik dan isu-isu yang ada pada hari ini.
Dan ketika sedang berhadapan dengan segala kemungkinan-kemungkinan yang berlaku seperti pilihanraya yang akan diadakan pada bila-bila masa, maka tentunya tugas Setiausaha Agung perlu diurus tadbir bersama dengan pimpinan-pimpinan komponen dari parti BN bagi memastikan segala persiapan untuk menghadapai pilihanraya dapat diadakan dan disegerakan.”
FOKUS MEMASTIKAN BN MENJADI PILIHAN RAKYAT
Kita harus menggerakkan BN agar menjadi pilihan kepada rakyat. Kita harus melihat kekurangan-kekurangan atau ada lompong-lompong yang perlu kita perbaiki dan ini adalah perkara yang paling mustahak bagi kita.
Jika kita tidak boleh membaca ataupun melihat serta melakukan proses muhasabah dengan benar-benar melihat tentang perkara-perkara yang perlu kita perbaiki maka tentunya kita tidak dapat memberikan satu jawapan yang tuntas kepada permasalahan yang berlaku pada hari ini.
Oleh itu kita perlu “reset semula” dan harus mengembalikan Barisan Nasional sebagai sebuah parti yang menjadi pilihan rakyat. Dan kita (BN) telah membuktikan bahawa kita adalah sebuah parti gabungan yang menjadi pilihan rakyat sebelum ini.
Oleh itu, proses merekayasa perlu dilakukan. Yang saya maksudkan merekayasa itu termasuklah “Reengineering” iaitu kita melihat selain perlunya melihat kekurangan-kekurangan dan memperbaikinya tetapi juga dengan mengemukakan satu cadangan yang baharu kepada rakyat kerana kita harus melihat bahawa hubungan dan kedudukan sesebuah parti itu mesti ada hubungannya dengan rakyat.
Parti tidak boleh diwujudkan hanya diawangan serta tidak menteruba iaitu tidak turun ke bawah tetapi ianya mesti mendekati, menyantuni dan mesti menyentuh hati dan perasaan rakyat. oleh itu Barisan Nasional harus kembali ke posisi itu iaitu sebagai sebuah parti yang mendekati, menyantuni dan menyentuh hati dan perasaan rakyat.
4 KOMPENAN UTAMA, DILENGKAPI PARTI GABUNGAN MANTAPKAN GERAK KERJA BN
Selepas apa yang berlaku iaitu selepas PRU yang lalu, kita melihat parti-parti gabungan ( ketika itu ) telah mengambil jalan mereka sendiri. Walau bagaimanapun, Barisan Nasional tetap meneruskan agenda kita apatah lagi kita mempunyai parti yang semenjak awal penubuhannya masih kukuh berdiri bersama-sama dan meneruskan Barisan Nasional ini.
Jika kita melihat sekarang, BN mempunyai UMNO, MIC, MCA dan rakan kita di Sabah iaitu PBRS, kita dilengkapkan lagi dengan parti Gabungan serta parti “Friends OF BN” yang memberikan kita kekuatan.
Dan apa yang perlu kita lakukan kini ialah kita perlu ada gerak kerja yang dibina bersama-sama, yang perlu diaktifkan , yang perlu digerakkan , yang perlu menangkap imaginasi rakyat.
PARTI HARUS DIGERAKKAN DENGAN IDEA YANG SEGAR
Saya tidak percaya kepada konsep berapa hari ataupun bekerja dengan lingkup masa 100 hari dan sebagainya yang boleh membataskan kita. Yang paling mustahak adalah pelan rancangan apa yang perlu dilakukan sama ada dalam jangka masa pendek, sederhana mahupun jangka masa panjang.
Barisan Nasional harus dan perlu digerakkan dengan idea yang harus disegarkan, disuburkan dengannya kerana jika parti hanya bertindak secara ad hoc, bergerak melalui krisis respond, seperti apa yang berlaku di luar sana, kita baru nak cepat-cepat berikan tindak balas, tidak mempunyai panduan di hadapan maka parti kita tidak akan menjadi kuat.
Oleh yang demikian, dalam tempoh yang terdekat ini proses penyegaran idea ini perlu kita lakukan. Kita perlu perbetulkan sedikit sebanyak masalah yang mungkin ada kerana kita perlu faham bahawa parti BN ini terdiri daripada pelbagai parti.
Kita harus menghubungjalinkan balik hubungan kita, mungkin sekiranya ada skru-skru yang longgar di mana-mana, seumpama jika kita ingin membuka pintu, pintu sudah mula berbunyi maka kita perbaikilah ia, kita sapukan minyak kerana pengukuhan BN itu sangat penting.
Kita tidak boleh bergerak tanpa mengukuhkan parti kita terlebih dahulu, kita perkemaskan dalaman ini dahulu dan saya yakin dengan persefahaman yang telah dibina oleh dewan tertinggi BN dalam merangka masa depan adalah amat baik sekali.
Seperti yang saya katakan semalam iaitu kita perlukan solidariti dan keteguhan semua peringkat pimpinan dari peringkat atasan sehinggalah ahli BN akar umbi bagi menjayakan cita-cita kita.
MENDEPANI MASA DEPAN
Kita belajar dari kelemahan dan kesilapan kita yang dahulu, dan tentunya rakyat akan tertanya-tanya apakah yang bakal kita tawarkan nanti.
Untuk itu, saya difahamkan bahawa satu jawatankuasa manifesto yang diketuai oleh Dato’ Seri Khaled Nordin telah membentangkan satu cadangan awal kepada Pengerusi BN dan saya penuh dengan keyakinan bahawa manifesto yang ada, yang bakal dikemukakan nanti, akan memberikan sesuatu yang praktikal kepada masa depan negara.
Kita bukan seperti parti yang hanya pandai menabur janji, yang menjanjikan sesuatu yang melangit, janji seolah-olah menyokong BN pada hari ini maka esok harga minyak akan turun,ataupun tol akan dihapuskan, hutang PTPTN akan dihapuskan tetapi kita adalah sebuah parti yang bertanggungjawab kerana kita pernah mentadbir negara.
Tawaran-tawaran yang bakal kita sampaikan nanti, insyaallah adalah perkara-perkara yang praktikal, yang dapat kita laksanakan dan dapat memberikan jawapan-jawapan kepada persoalan-persoalan penting yang diperkatakan rakyat pada hari ini.
REIMAGINING/ PENJENAMAAN SEMULA
Secara sedikit sebanyak sebelum ini, kita sudahpun mula merangka dan persoalan besarnya adakah bolehkah Barisan Nasional membuat suatu kelainan pada PRU kali ini.
Jawapannya adalah ya, ya kita boleh membuat kelainan kali ini dengan syarat kita melakukan suatu proses pembaharuan dengan suatu political brand kita dan apakah political brand yang mahu kita bawa kali ini.
Apakah bentuk pentadbiran dan apakah bentuk pendekatan dan perubahan baharu seperti perubahan institusi yang dimana mungkin ada kelemahan-kelemahan yang ada di mana ketika ini rakyat bercakap mereka mahukan suatu pendekatan politik yang baharu.
Rakyat kini mahukan sebuah parti yang keluar daripada imej yang buruk, yang rosak dan sebagainya yang kita faham akan maksudnya.
Dan apa yang kita lihat pada hari ini, dengan krisis politik yang ada, rakyat kini merindui balik model-model seperti yang pernah Barisan Nasional bina sebelum ini.
Jadi antara lain, kita mahu menonjolkan agar Barisan Nasional itu “come back to the basic” iaitu seperti asal penubuhannya, konteks kerjasama yang ada disamping melihat realiti politik pada hari ini.
MESEJ SETIAUSAHA AGUNG BN
Barisan Nasional akan terus mendambakan diri untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, memperjuangkan kemaslahatan rakyat dan akan turut bersama-sama dengan perjuangan rakyat bagi memastikan kedudukan rakyat kita dipertahankan dan pembelaan kepada rakyat sepertimana yang telah dilakukan oleh BN sebelum ini dan akan diteruskan. Usaha untuk memperbaiki kedudukan, kekurangan -kekurangan yang ada bagi kita membina sebuah negara Malaysia yang lebih Makmur aman dan sejahtera.
Kami di peringkat Barisan Nasional akan terus berusaha memberikan yang terbaik kepada anda semua. Insyallah, doakan kami, berikan dokongan untuk kita bergerak ke hadapan bagi membina sebuah negara Malaysia yang sama-sama kita cintai ini.